Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 24, 2017

[KUANTAN] EKSPORT TEMPURUNG SAWIT KE JEPUN


Eksport  tempurung sawit ke Jepun


Anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) iaitu Felda Johor Bulkers (FJB) Sdn Bhd menyasarkan mengeksport sehingga 60,000 tan metrik tempurung kelapa sawit (PKS) ke Jepun pada tahun ini disebabkan permintaan tinggi bahan mentah yang dijadikan sebagai sumber penjanaan kuasa negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Zuki Wan Abdullah berkata, pengeksportan tersebut merupakan projek perintis ‘Waste to Wealth’ yang diusahakan syarikat FGV untuk menjana lebih pendapatan bagi peringkat syarikat kumpulan.

Jelasnya, setakat ini pihaknya sudah mengeksport 30,000 tan metrik melalui penghantaran pertama membabitkan 20,000 tan metrik menerusi Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor, Disember lalu dan sebanyak 10,000 tan metrik lagi menerusi Pelabuhan Kuantan, di sini, Januari lalu.

“Ia satu perkembangan positif dan kita menyasarkan jumlah eksport pada tahun depan kepada 100,000 tan metrik dan akan meningkat lagi kepada 120,000 tan metrik pada tahun berikutnya sehingga ke 2020 nanti.

“Projek ini mampu berkembang dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan yang pesat terutama daripada negara Jepun, China dan Korea,” katanya kepada media dalam sesi taklimat berkaitan PKS di Pejabat Felda Bulkers Sdn Bhd, di Tanjung Gelang, di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, melalui perancangan untuk mengembangkan perniagaan itu pada masa depan ia termasuk melakukan proses penapisannya sendiri bagi menikmati keuntungan lebih tinggi dengan menjual tempurung kelapa sawit yang sudah dibersihkan.

“Kita akan kembangkan operasi termasuk menaik taraf kemudahan seperti gudang bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan

“Sekiranya kita dapat kembangkan operasi termasuk kerja penapisan sendiri, mungkin dapat tampung permintaan terutama dari China dan Korea Selatan,” katanya.

Jelasnya lagi, melalui PKS secara tak langsung FGV dapat pulangan besar dan mengukuhkan lagi kedudukan penambahan keuntungan.

“Bagi perniagaan PKS yang dilaksanakan ia turut mewujudkan satu tambah nilai kepada anak syarikat di bawah FGV seperti Felda Palm Industries (FPI) dan Felda Transport yang turut terbabit.

“Ini kerana kita akan beli tempurung kelapa sawit itu daripada 57 kilang FPI seluruh Semenanjung Malaysia dan guna pengangkutan Felda Transport untuk bawa ke pusat pengumpulan di gudang yang ditetapkan mengikut zon,” katanya.


0 comments:

share2