Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 23, 2017

[KUANTAN] ANAK BERSYUKUR IBU DITEMUI SEBELUM MENINGGAL





“Sejak kami tahu emak hilang di Makkah, setiap malam kami buat solat hajat di rumah, masjid dan madrasah supaya emak atau jasadnya ditemui. Alhamdulillah pada malam keempat doa kami dimakbulkan.”

Itu luahan Norasikin Awang Ahmad, 40, anak keempat Fatimah Senik, 69, yang meninggal dunia di Makkah pada Rabu lalu selepas koma akibat pendarahan dalam otak. Allahyarham dilaporkan rebah semasa menunggu giliran untuk menunaikan ibadat tawaf.

Norasikin berkata emaknya berlepas ke tanah suci bersama-sama bapanya Awang Ahmad Deraoff, 71, dan abang sulungnya Mazuki, 50, pada 12 Ogos lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Terengganu.

“Pada 13 Ogos, abang menghubungi kami memaklumkan emak hilang. Katanya emak rebah. Pasukan perubatan menanggalkan pengenalan emak dan serahkan pada ayah yang tidak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana masalah bahasa dan tidak boleh membaca,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Bukit Goh, di sini hari ini.

Norashikin berkata mereka kemudian meminta Mazuki membuat laporan kepada wakil Tabung Haji (TH) di sana dan pada 16 Ogos lalu mereka menerima mesej dan gambar Fatimah menerusi aplikasi WhatsApp daripada TH yang bertanyakan sama ada mereka mengenali wanita itu yang koma di Hospital King Abdulaziz.

“Saya sahkan itu emak dan petugas TH di Makkah terus mencari abang. Abang dapat berjumpa emak beberapa jam sebelum emak meninggal. Walaupun sedih, kami bersyukur kerana emak ditemui,” katanya.

Norasikin berkata emaknya begitu teruja sejak diberitahu terpilih menunaikan haji dan telah menyelesaikan kursus haji sebelum Aidilfitri serta sering mengajak anak-anak keluar mencari barangan keperluan haji.

Katanya, emaknya juga semakin menjaga kesihatan dan kelihatan lebih cergas walaupun sebelum itu sering berjumpa doktor dan mengambil ubat sejak tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Norasikin turut mengucapkan terima kasih kepada petugas TH yang berusaha mencari ibunya dan sering berhubung dengan mereka di sini, selain menguruskan urusan pengebumianAllahyarham di Tanah Perkuburan Syarai’e, pada 17 Ogos.

Katanya ayah dan abangnya dijadualkan pulang ke tanah air pada 27 Sept ini.

Sementara itu, Pengarah TH Pahang Helena Hashim berkata Fatimah merupakan jemaah pertama dari Pahang yang meninggal dunia dan seorang jemaah wanita dari Kampung Dong, Raub yang berusia 89 tahun menjadi individu kedua selepas disahkan meninggal dunia pada 17 Ogos lalu.

“Kami mengunjungi waris Fatimah hari ini bagi menzahirkan ucapan takziah dan menyampaikan sedikit sumbangan daripada TH manakala waris kedua juga akan dilawat pada Khamis ini,” katanya.

Helena menambah pihak TH juga akan melaksanakan badal haji buat Fatimah dan akan mengendalikann urusan membawa pulang barangan peribadi arwah untuk diserahkan kepada keluarganya.


0 comments:

share2