Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 8, 2017

[KUANTAN] 16 TAHUN KUMPUL DUIT JUAL TISU


16 tahun kumpul duit jual tisu


Meskipun tidak mampu melihat, namun pasangan warga emas ini tetap gigih mencari rezeki, biarlah pun dengan hanya menjual tisu di pasar tani di daerah ini, pada setiap hari.

Rohani Noh, 65, berkata, dia dan suaminya Mohd Kenali Aziz, 80, mengambil masa 16 tahun untuk mengumpul duit bagi menunaikan ibadah haji dengan Tabung Haji (TH) pada 2007, walaupun mereka dilahirkan tidak seperti insan normal lain.

Menurutnya, walaupun serba kekurangan dan lama menabung, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka suami isteri menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah.

“Makcik berniaga tisu je. Hasil jualan tisu dan sumbangan mereka yang prihatin dengan nasib insan cacat penglihatan seperti makcik membolehkan makcik dan suami menunaikan Rukun Islam kelima sama seperti umat Islam lain.

“Betul cakap orang tua simpan sikit-sikit, nanti lama-lama jadi bukit. Alhamdulillah doa makcik selama ini dah dimakbulkan untuk jadi tetamu ALLAH di Tanah Suci Makkah,” katanya yang tinggal di Alor Akar di sini.

Nenek kepada 21 cucu ini memberitahu, selain menjual tisu, pasangan tersebut turut membuat persembahan muzik bagi membolehkan hasratnya menjadi kenyataan.

“Makcik juga selalu adakan persembahan muzik di pasar malam dan pasar tani di bandar ini. Dah 16 tahun makcik buat kerja seperti ini. Niat makcik hanya satu iaitu nak tunaikan haji.

“Makcik juga bersyukur dan terharu kerana dalam usia lanjut ini makcik dan suami tetap diberi peluang menunaikan haji dengan menggunakan hasil peluh kami selama ini,” katanya.

Walaupun terlewat menerima tawaran tersebut, jelasnya dia dan suami berasa amat gembira dan teruja kerana impian menjejakkan kaki ke Tanah Suci menjadi kenyataan.

Lebih menggembirakan apabila mereka ditemani dua anak, Sayana, 42, dan Ani Sharil, 44, selaku pengiring sepanjang mereka menunaikan ibadah terbabit.

Dia kini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak kerana kakinya yang tidak kuat.

Katanya, walaupun dia menghadapi masalah itu, itu semua tidak melemahkan semangat melakukan semua Rukun Haji seperti tawaf, sa’i dan melontar.

Sementara itu, Mohd Kenali berkata, setiap hari dia memanjatkan doa supaya ALLAH memberi peluang kepadanya untuk menunaikan ibadah haji.

“Bila dah dapat tawaran ini, memang gembira sangat-sangat walaupun jadi jemaah terakhir. Paling utama dapat kerjakan ibadah yang dituntut ALLAH,” katanya.

Bagaimanapun, bapa kepada 10 anak ini mengharapkan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang di Tanah Suci dan dapat melakukan semua Rukun Haji dengan sempurna.

“Saya juga harapkan anak-anak yang mengiringi saya dikurniakan kesihatan baik sepanjang membantu kami semasa di sana nanti,” katanya.


0 comments:

share2