Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 8, 2017

[JERANTUT] MASJID BAHARU BERNILAI RM5.6 JUTA


Masjid baharu bernilai RM5.6 juta


Masjid baharu bernilai RM5.6 juta akan dibina bagi menggantikan bangunan sedia ada sekalis gus bagi memberi kemudahan penduduk di Felda Padang Piol, di sini.

Adun Tahan, Dato' Sri Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, pembinaan masjid baharu itu telah mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Kami bersyukur kerana baginda bersetuju dengan cadangan untuk membina masjid baru ini bagi menggantikan bangunan lama yang tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat terutama ketika solat Jumaat.

“Pada masa yang sama saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang meluluskan peruntukan sebanyak RM5.6 juta untuk melaksanakan projek ini,” katanya.

Menurutnya, kelulusan pembinaan masjid baharu itu menunjukkan komitmen dan tanggungjawab perdana menteri terhadap warga Felda bagi memberi keselesaan kepada mereka untuk beribadat serta menjalankan program komuniti setempat.

Beliau berkata, masjid yang sedia ada telah dibina pada tahun 70-an dan telah menjalani kerja-kerja membaik pulih serta membesarkan bangunan dari semasa ke semasa mengikut jumlah jemaah.

“Jumlah penduduk di Felda Padang Piol kini lebih 4,000 orang dan pembinaan bangunan baharu merupakan langkah terbaik untuk kemudahan penduduk,” katanya.

Wan Amizan memberitahu, bangunan masjid yang baharu akan dilengkapi dengan dewan solat utama yang lebih besar, bilik-bilik khas dan pelbagai kemudahan lain.

Dalam pada itu, Pengurus Felda Padang Piol, Zolkopli Soik berkata, beliau mewakili seluruh penduduk di tanah rancangan berkenaan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Pemangku Sultan Pahang kerana meluluskan pembinaan masjid baharu.

“Pihak kontraktor sedang melakukan kerja-kerja mengalih peralatan dan barang-barang yang masih boleh digunakan ke dewan orang ramai yang dijadikan masjid sementara dan kerja-kerja merobohkan bangunan lama akan dilakukan sebaik semuanya selesai,” katanya.


0 comments:

share2