Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 11, 2017

KILANG HARAM BEROPERASI SEJAK 15 TAHUN LALU DISERBU


Kilang haram beroperasi sejak 15 tahun lalu diserbu


Permatang Pauh - Sebuah kilang haram memproses habuk kayu yang dipercayai telah beroperasi sejak 15 tahun lalu di Kampung Sungai Lembu di sini diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi semalam.

Operasi yang diadakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilakukan selepas mendapat aduan daripada penduduk setempat mengenai pencemaran alam sekitar yang berlaku daripada aktiviti membakar habuk kayu sejak sekian lama.

Kilang haram itu didapati beroperasi tanpa permit sah di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Dalam serbuan bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu, Imigresen menahan seramai sembilan warga Myanmar termasuk seorang wanita yang merupakan pekerja kilang terbabit.

Empat daripada individu terlibat disyaki melakukan kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen manakala selebihnya disyaki melakukan kesalahan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen.

Dalam operasi sama, SPRM turut memanggil seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan penyelia kilang terbabit ke Pejabat SPRM cawangan Seberang Perai untuk diambil keterangan.

SPRM juga menyerbu pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan pejabat operasi kilang terbabit di Bukit Mertajam pagi ini bagi merampas dokumen-dokumen berkaitan di premis-premis tersebut.

Antara warga asing yang ditahan oleh JIM dalam serbuan semalam.

Turut dirampas dokumen-dokumen berkaitan ialah pihak LHDN kerana disyaki pemilik kilang terbabit tidak melaporkan pendapatan dengan betul.

Sementara itu, JAS juga mendapati kilang terbabit tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran udara serta akan mengambil tindakan atas kesalahan mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2014.

Kewujudan kilang haram tersebut telah memberi kesan buruk termasuk menjejaskan kesihatan penduduk setempat sehingga ada yang menghidap penyakit serius.

Selain itu, kilang haram berkenaan juga menyebabkan masalah kebanjiran pekerja asing tanpa permit selain tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah di kawasan terbabit .

Sebelum ini, isu-isu berkaitan kilang ini telah beberapa kali dilaporkan oleh penduduk kampung kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan yang dilakukan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai operasi tersebut.


0 comments:

share2