Pasangan suami isteri yang menetap di Taman Mutiara di sini berharap agar ibu kepada kanak-kanak yang berusia tiga tahun dijaga sejak kecil dapat menampilkan diri bagi membantu mereka memudahkan urusan pengambilan anak angkat kanak-kanak terbabit.
Pasangan tersebut, VK Subramaniam, 52 dan M Letchumy, 37, dikatakan telah menjaga kanak-kanak terbabit yang dinamakan sebagai Bavani sejak kanak-kanak itu baharu berusia beberapa bulan.
Menurut Letchumy, Bavani ditinggalkan ibu kandungnya yang merupakan rakan sekerja Letchumy yang ketika itu bekerja di sebuah kedai berhampiran stesen kereta api, empat tahun lalu.
“Kedai itu sudah tutup dan pemilik kedai serta pekerja masing-masing membawa haluan sendiri termasuklah ibu kandung Bavani.
“Saya diberitahu ibu kandungnya hendak pergi ke Kuala Lumpur dan selepas itu kami terputus hubungan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pejabat Kebajikan Masyarakat, di sini, semalam.
Letchumy berkata, setahun kemudian ibu kandung Bavani menghubunginya semula dan berhajat mahu datang dan menetap di rumahnya.
“Ibu kandung Bavani datang membawa Bavani yang masih kecil. Selama tiga hari ibu Bavani tinggal bersama kami, dia langsung tidak mempedulikan Bavani sebaliknya sayalah yang mengambil berat tentang Bavani ketika itu,” katanya.
Lebih kurang tiga hari ibu kandung dan Bavani menetap di rumah Letchumy, ibu kandung Bavani kemudiannya mengambil keputusan untuk ‘balik’.
“Saya tidak dimaklumkan dia hendak ke mana namun ibu Bavani minta saya jagakan Bavani dan dia berjanji ak datang semula untuk ambil Bavani.
“Namun sehingga kini ibu Bavani masih belum datang ambil Bavani membuatkan saya buat keputusan nak ambilnya sebagai anak angkat secara sah,” katanya.
Tambahnya, tiga bulan selepas menjaga Bavani, Bavani jatuh sakit di mana bahagian perutnya mengeras dan perlu mendapatkan rawatan.
“Saya telah buat laporan polis berkaitan ibu Bavani yang telah meninggalkan Bavani dan kemudiannya bawa dia dapatkan rawatan. Disebabkan sakitnya, Bavani perlu dibedah dan saya telah keluarkan wang sendiri untuk biayai kos rawatan Bavani,” katanya.
Letchumy juga berkata, setahun kemudian dia telah ke Klinik Pakar Wanita Kepong dan Pusat Bersalin Kepong, Kuala Lumpur bagi dapatkan maklumat berkaitan kelahiran Bavani bagi membuat surat beranak.
“Ketika itu barulah saya dimaklumkan ibu Bavani bernama Serli Ndolu, berusia 28 tahun ketika melahirkan Bavani dan warganegara Indonesia.
Letchumy mengharapkan bantuan orang ramai sekiranya mengenali Serli Ndolu untuk menghubungi di talian 019-9761926.
0 comments:
Post a Comment