Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 19, 2017

JANGAN BIARKAN PM BERSEORANGAN LAWAN TOHMAHAN PEMBANGKANG





Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta rakyat khususnya ahli UMNO supaya tidak membiarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersendirian dalam menghadapi pelbagai tohmahan dilemparkan pembangkang.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dan menggalas tugas-tugas Timbalan Presiden berkata, usaha perdana menteri berdepan tindakan sedemikian daripada pembangkang walaupun membawa pembangunan dan kemajuan termasuk transformasi dalam pelbagai bidang demi memanfaatkan rakyat.

“Jangan biarkan perdana menteri kita berseorangan, kita kena bangun untuk tentukan bahawa apa yang dilakukan beliau adalah untuk kebaikan rakyat dan anggota UMNO di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Dewan Seri Serdang.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abd Rahim.

Ahmad Zahid berkata, memandangkan bekas pemimpin utama UMNO yang menerajui serangan terhadap parti itu, semua ahli UMNO perlu memastikan bekas pemimpin itu tidak lagi relevan dalam politik di negara ini.

“Kita mesti tentukan bahawa UMNO dan Barisan Nasional dipimpin oleh mereka yang ada ketika ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau sendiri tidak rela apabila melihat UMNO dituduh dan dibaling dengan najis, kononnya menjadi dalang di balik kekecohan pada forum Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata sebagai Menteri Dalam Negeri beliau mengarahkan polis untuk membuat siasatan terperinci kerana tidak mahu UMNO dituduh sebagai parti yang menganggu proses demokrasi walaupun berbeza pendapat dengan sesebuah organisasi atau parti politik.

Mengenai Kedah, Ahmad Zahid berkata negeri Jelapang Padi itu sangat bertuah kerana mempunyai menteri besar seperti Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang disifatkannya sebagai ‘naga di belakang tabir’ ketika BN merampas semula negeri itu pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu.

“Kita tahu Kedah terlalu istimewa untuk perdana menteri di mana solidariti dalam kalangan ketua UMNO bahagian yang menyebabkan Kedah terus mantap dari segi politik dan pembangunan ekonomi. Saya akan terus bantu perdana menteri memajukan negeri ini,” katanya.

Mengenai Parlimen Kulim/Bandar Baharu, beliau berkata BN mahu terus menguasai kerusi itu dengan meningkatkan majoriti kepada 11,800 bagi Parlimen manakala Dewan Undangan Negeri (Dun) Kulim meningkat kepada 6,420 undi majoriti dan Dun Bandar Baharu sebanyak 10,200 undi.

“Tidak mustahil kita boleh peroleh kemenangan 10 kali ganda daripada itu dengan semangat jentera 41 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen ini dan saya yakin Datuk Aziz (Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu) mampu terjemahkan sokongan rakyat,” katanya.

Beliau turut memberitahu akan kembali ke Kedah pada 3 Sept ini bagi melawat kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang siap sepenuhnya walaupun sebelum ini berdepan kelewatan selama 576 hari.

Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM10,000 untuk pemasangan alat pendingin hawa dan menaik taraf tandas di Dewan Seri Serdang selain sumbangan RM500,000 untuk kerja-kerja awal pembinaan Maktab Mahmud Bandar Baharu bersebelahan Masjid Al-Fateh.


0 comments:

share2