Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 16, 2017

HUJAN SELURUH NEGARA DIRAMAL BERKURANGAN PADA 18 OGOS


Hujan diramal berkurangan pada 18 Ogos


Kuala Lumpur - Taburan hujan yang banyak sejak kebelakangan ini sehingga mengakibatkan banjir dibeberapa buah negeri, diramal akan berkurangan mulai 18 Ogos depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Alui Bahari.

Beliau berkata keadaan hujan yang lebat sejak beberapa hari lepas adalah disebabkan angin barat laut dari Lautan Hindi yang membawa lembapan dari sana terus ke Malaysia.

“Manakala hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak berpunca daripada faktor kelembapan udara yang tinggi yang menyebabkan pembentukan awan ribut petir,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Alui berkata pada kebiasaannya pada bulan ini sehingga September adalah musim kering iaitu kekerapan taburan hujan adalah sedikit, namun atas faktor angin barat laut dari Lautan Hindi itu, keadaan cuaca di seluruh negara telah berubah.

Buat masa ini, negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia menerima taburan hujan yang banyak, lazimnya taburan hujan yang banyak akan berlaku bulan April dan Oktober iaitu musim peralihan monsun dan bulan November sehingga Januari iaitu musim tengkujuh, katanya.

Ditanya adakah taburan hujan ini akan berterusan atau hanya sementara sahaja, Alui berkata taburan hujan yang dialami di seluruh negara adalah normal dan bukannya sesuatu yang luar biasa berdasarkan pemantauan secara berkala oleh MetMalaysia.

Dalam pada itu, ketepatan cuaca untuk tujuh hari yang dikeluarkan MetMalaysia adalah 65 peratus manakala ketepatan ramalan cuaca untuk tempoh tiga hari ialah sebanyak 75 peratus, katanya.

MetMalaysia akan sentiasa mengemaskini sebarang perubahan cuaca sekiranya ada, kata Alui. Sehubungan, beliau menasihati orang ramai untuk mendapat maklumat mengenai cuaca dengan melayari laman web MetMalaysia di www.met.gov.my atau menghubungi hotline di 1-300-221638 manakala untuk maklumat banjir boleh diperolehi di publicinfobanjir.water.gov.my.


0 comments:

share2