Teka teki tentang siapa yang layak menjawat jawatan ketua pembangkang baru telah terjawab apabila DAP dan PAS telah bersetuju untuk menyokong Wan Azizah sebagai ketua mereka di Parlimen kelak.
Menurut Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS, mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Hadi Awang telah memutuskan sebulat suara untuk menyokong Presiden PKR bagi jawatan tersebut.
Kita masih ingat, apabila Anwar Ibrahim memulakan langkah “Kajang Move” dan tidak layak bertanding di Kajang, idea menampilkan Wan Azizah selaku calon sekaligus dicanangkan sebagai bakal Menteri Besar Selangor telah mendapat tentangan hebat daripada PAS.
Bukan sekadar hebat penentangannya, ia membawa kepada krisis di dalam parti tersebut, apabila 2 ADUN bertindak untuk mengingkari arahan presiden dengan muncul dalam satu sidang akhbar menyokong Wan Azizah, sekaligus membuktikan “she has the numbers”. Ia diikuti pula dengan sokongan oleh ahli jawatankuasa PAS pusat terhadap pencalonan Wan Azizah.
Pada saat itulah, PAS dijenamakan sebagai parti u-turn, dan ianya sangat trending di media sosial, serta memberi makna yang baru dalam arus politik negara.
Kali ini, tiba-tiba PAS bersetuju pula untuk diketuai oleh Wan Azizah selaku ketua pembangkang yang baru. Apa sudah jadi dengan pendirian PAS untuk tidak berketuakan seorang wanita? Hadi Awang yang pernah garang dalam krisis menteri besar Selangor, termasuklah ketika waktu berkempen pilihanraya Permatang Pauh baru-baru ini senyap sepi tanpa bicara berhubung persetujuan ini.
Sedar atau tidak, rakyat hari ini disajikan dengan permainan politik jelek oleh PAS, yang tidak tahu ke mana haluan mereka dalam cita-cita perjuangannya. Ia juga membuktikan bahawa PAS kini boleh dianggap golongan yang tidak boleh dipercayai, kerana tidak konsisten dalam apa jua perkara serta isu yang melibatkan mereka.
Benarlah kata seorang pesara yang sempat penulis temui sambil menikmat kopi 0 di Permatang Pauh sebelum ini. “PAS takdak pendirian, hangpa tak mau percaya, terpulang. Tapi, habaq satu ja, tengok keputusan (pilihanraya kecil) nanti.”.
Tanpa pendirian, PAS terus cuba untuk kekal relevan di dalam Pakatan Rakyat. PAS tidak ubah seperti pengemis, yang hina dan terus dihina, tetapi kekal tanpa ada malu untuk menjual maruahnya, demi kelangsungan “tahaluf siyasi” ciptaan DAP.
PAS kini bukan sekadar “U-Turn”, tetapi lebih tepat ibarat sebuah kereta yang tidak tahu ke mana arah yang mahu dituju, berpusing-pusing di “roundabout” sehingga pening, sambil menunggu laluan mana yang hendak dipilihnya.
Panduan PAS ialah “signal” dari DAP dan PKR. Itulah laluannya.
0 comments:
Post a Comment