Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, August 19, 2017

[BERA] 'PAKCIK DOA DIPANJANGKAN UMUR'


‘Pakcik doa dipanjangkan umur’


“Pakcik selalu doa supaya ALLAH panjangkan umur. Kalau pakcik pergi dulu, siapa pula yang akan jaga Aidi.”

Itu luahan Mohd Jahar Abd Kadir, 74, yang bimbang memikirkan masa depan anaknya, Aidi, 45, yang kerap terjatuh dan diserang sawan sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia bersama isteri, Saripah Seman, 68, tidak putus asa menjaga keperluan anaknya itu lebih-lebih lagi Aidi turut mengalami masalah pelupa.

“Beberapa hari lalu, bahagian atas mata Aidi kena jahit sebab dia tersembam dekat tingkap. Pakcik tak pasti kena cermin atau tak, sebab bila tanya dia sendiri tak ingat.

“Masa kami keluar menoreh, kami tinggalkan di di rumah sebab dia boleh makan atau minum sendiri. Jadi, bila balik tu pakcik tengok kepala dia berdarah terus hantar ke klinik, kena empat jahitan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini sempena Program Jejak Asnaf anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Orang Melayu Pahang (Muip) Bera.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Abdul Rahim Yusoh.

Menerusi program itu, pihak Muip turun padang untuk mendekati penduduk yang dikategorikan sebagai asnaf untuk disenaraikan sebagai penerima bantuan pada masa akan datang.

Mohd Jahar turut memaklumkan, Aidi memiliki kad OKU (ketidakupayaan mental) berikutan masalah yang dialaminya dan menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, Aidi merupakan anak ketiganya daripada 10 beradik.

“Saya ada anak-anak yang lain tapi masing-masing dah berkeluarga. Jadi saya fahamlah, takkan mereka nak jaga Aidi pula. Tapi macam mana pun adik-beradiknya yang lain tetap beri perhatian pada dia.

“Kami pun bukannya sihat sangat tapi demi dia, kami kena kuat. Memang dia tak kacau orang lain pun tapi kalau kami tiada, lagi huru-hara kehidupan dia nanti,” katanya.

Sementara itu, Saripah memberitahu, Aidi dilahirkan sihat namun sejak dia berumur 30-an, dia kerap jatuh dan memberikan kesan pada otaknya selain kerap diserang sawan.


0 comments:

share2