Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 3, 2017

BENTONG BAKAL MEMBANGUN


Bentong bakal membangun


Saban tahun, kenderaan yang memasuki daerah ini semakin bertambah terutamanya pada musim perayaan dan hujung minggu sehingga menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas.

Menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil pendekatan dengan membina Projek Central Spine Road (CSR) bernilai RM578 juta yang dijangka dapat mengurangkan masalah berkenaan.

Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, projek berkenaan dijangka akan siap sepenuhnya pada 2019.

Ia mampu menyelesaikan masalah kesesakan teruk dan meningkat sosio-ekonomi dengan melancarkan perjalanan penghantaran barang ke sesebuah destinasi yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan dengan segera.

Menurutnya, projek CSR berkenaan merangkumi lima peringkat di mana melibatkan keseluruhan jajaran 54 kilometer daripada Bentong ke Raub.

“Untuk di daerah ini pembinaan Bentong Bypass melalui projek CSR akan segera dilaksanakan pihak kami demi keselesaan penduduk.

“Skop projek Bentong Bypass ialah untuk membina jalan baru empat lorong dua hala yang akan jadi laluan alternatif dari Bentong ke Raub.

“Pada masa ini dua seksyen yang sedang dalam pembinaan iaitu Seksyen C1 dari Kampung Asap ke Sertik dan Seksyen D Bentong Bypass berjalan dengan lancar mengikut jadual kerja ditetapkan.

“Jadi kita harap apabila siapnya projek ini nanti ia bukan saja dapat selesaikan masalah kesesakan tetapi menjana pertumbuhan ekonomi yang baik kepada penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP), Mohd Faizzuldin Abdul Rashid berkata, kerajaan cukup komited dalam mengurangkan kesesakan di bandar ini.

Namun, menurutnya, terdapat dakwaan bahawa Bentong akan 'mati' apabila terbinanya lebuh raya empat lorong terbabit.

“Ada dakwaan mengatakan Bentong akan mati sebab tiada orang akan masuk ke Bentong lagi selepas ini.

“Bagi saya ia tak tepat, sebab bila Bentong Bypass siap nanti, kawasan ini akan membangun terutamanya di kawasan Chintan Manis dan juga Mempaga.

“Secara tak langsung sebenarnya akan meningkatkan lagi ekonomi daerah ini. Maklumlah daerah ini terkenal dengan Musang King dan halia Bentong. Pengunjung luar pasti akan datang singgah ke sini sebab mereka tahu jalan dah tak sesak macam dulu,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna, Wan Nashrul Hasif, 25, berkata, masalah kesesakan di Bentong sudah lama berlaku.

Wan Nashrul berkata, jalan utama Bentong itu merupakan laluan utama untuk mereka yang ingin pulang ke Kelantan, Cameron Highlands dan Pantai Timur.

“Sepatutnya jalan satu lorong tak sesuai nak dijadikan sebagai jalan utama. Kalau kemalangan tu jangan cakaplah...banyak sangat, termasuklah kemalangan maut.

“Apa pun saya gembira dan lega bila lebuh raya baru nak dibina, kita rasa lebih selamat,” katanya.

Aliff Iskandar, 22, pula berkata, keadaan jalan yang hanya mempunyai satu lorong menyusahkan pengguna terutamanya pada waktu pagi dan petang yang menjadi laluan utama kepada mereka yang bekerja.

“Kalau nak pergi kerja sterpaksa ambil masa lama kalau naik kereta, sedangkan jarak antara rumah ke tempat kerja bukan jauh mana pun.

“Selepas lebuh raya ini siap, saya yakin keadaan sesak dapat dikurangkan...kalau sesiapa nak terus ke Lipis ataupun ke pantai timur mereka boleh terus melalui lebuh raya baru dan tidak perlu melalui Bentong,” katanya.


0 comments:

share2