Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 3, 2017

TERTINGGAL BAJU DI MASJID SELEPAS MENCURI


curi


Pontian - Bukan setakat pintu dan tabung kutipan derma dipecahkan tetapi alat pembesar suara Masjid Jamek Kampung Parit Yunos Api-api turut lesap dicuri.

Kehilangan barang berharga tersebut disedari jemaah masjid ketika mahu menunaikan solat Subuh kira-kira jam 5.15 pagi yang mendapati pembesar suara di ruang depan masjid hilang bersama duit derma orang ramai di dalam tabung.

Pengerusi masjid, Amin Manidi berkata, sehelai t-shirt berwarna hitam di dalam almari penyimpanan al-Quran di ruang hadapan masjid turut ditemui.

“Pelik juga ada t-shirt di ruang dalam rak almari. Mungkin ia kepunyaan pencuri. T-shirt itu sudah diserahkan kepada polis,” katanya.

Menurut Amin, peralatan pembesar suara yang dibeli dengan harga RM3,000 sudah digunakan sejak empat tahun lalu.

“Tiada satu pun peralatan pembesar suara yang ditinggalkan termasuk mikrofon. Kehilangan pembesar suara ini mengejutkan jemaah masjid dan penduduk kampung.

“Mereka tidak menyangka ada yang tergamak mencuri pembesar suara masjid selepas Hari Raya Aidilfitri baharu sahaja disambut minggu lalu,”katanya ketika ditemui hari ini.

Amin yang juga Ketua Kampung Kawasan (5) Mukim Api-api, menganggarkan jumlah wang yang dicuri dari tabung masjid hanyalah sedikit.

“Terdapat dua buah tabung yang diperbuat dari kayu diletakkan di dalam masjid. Mujur hanya satu buah tabung sahaja yang dipecahkan.

“Bagi mengelakkan tabung masjid jadi sasaran pencuri, pihak jawatankuasa masjid sentiasa memastikan wang derma di dalam tabung dikutip setiap hari,”katanya.

Katanya lagi, sebelum ini pernah berlaku kecurian motorsikal dan selipar di masjid berkenaan.

“Tetapi kejadian kali ini benar-benar diluar dugaan. Bilik mesyuarat masjid yang hanya mempunyai kerusi dan meja turut diumpil dan dipecah masuk,” katanya.

Imam masjid, Md Amin Morsid berkata, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku di masjid berkenaan.

Jelasnya, laporan polis telah dibuat jawatankuasa masjid di Balai Polis Kayu Ara Pasong, tadi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut akan dijalankan.


0 comments:

share2