Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 8, 2017

SIRIM MINTA MAKLUM BALAS PELANGGAN


Sirim minta maklum balas pelanggan


Shah Alam - Kumpulan Sirim melalui enam anak syarikatnya mengalu-alukan maklum balas daripada orang ramai termasuk syarikat-syarikat bagi membolehkan 

syarikat milik penuh kerajaan itu meningkatkan kualiti perkhidmatan dan juga teknologi yang ditawarkan untuk memanfaatkan perniagaan.

Presiden dan Ketua Eksekutif, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, SIRIM akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua syarikat dan individu yang berurusan dengan mereka.

"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada anda semua yang selama ini telah menyokong aktiviti Kumpulan SIRIM.

"Bagi tujuan itu, kita adakan majlis ini untuk meraikan pelanggan-pelanggan Kumpulan SIRIM yang terdiri daripada peneraju korporat, usahawan dan persatuan industri daripada pelbagai sektor termasuklah sektor perkhidmatan, pembuatan, elektrikal dan elektronik, mekanikal, kimia, kejuruteraan awam, automotif, minyak dan gas, makanan dan minuman serta wakil dan kementerian dan agensi yang sentiasa bekerjasama rapat dengan SIRIM Berhad dan anak-anak syarikat," katanya pada majlis Aidilfitri Kumpulan SIRIM 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Pada majlis itu, lebih 1,200 pelanggan, rakan niaga dan pemegang kepentingan yang terdiri daripada ketua jabatan dan agensi kerajaan, peneraju syarikat korporat, persatuan-persatuan industri, institusi pendidikan tinggi serta pihak media hadir memeriahkan majlis.

Kumpulan SIRIM terdiri daripada enam anak syarikat iaitu SIRIM QAS International, SIRIM STS, SIRIM Standards Technology, SIRIM Tech Venture, SIRIM Measurements Technology dan National Precision Tooling.


0 comments:

share2