Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 1, 2017

SINDIKET PATI AKTIF MENJELANG RAYA


Pati


“Pernah dalam satu operasi sewaktu raya, pihak kami berjaya menahan sebuah bot yang dipenuhi dengan pendatang asing tanpa izin (Pati) seramai lebih kurang 70 orang.”

Begitulah pendedahan oleh Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor, Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah.

Menurut Mohd Rosli, sindiket Pati yang beroperasi secara haram kebiasaannya akan menjadi semakin aktif menjelang Aidilfitri.

“Untuk bulan puasa dan raya ini, kebanyakan Pati dari Indonesia akan pulang ke negara asal mereka untuk sambut raya, melalui ejen-ejen haram yang giat beroperasi secara diam.

“Tindakan mereka bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut memperjudikan nyawa ahli keluarga mereka yang lain,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Mohd Rosli berkata, kebanyakan Pati kebiasaannya tertipu dengan kata-kata manis ejen-ejen sindiket tersebut yang berjanji untuk membawa mereka pulang ke negara asal.

Mohd Rosli berkata, Pati yang ingin pulang ke negara asal mereka perlu membuat pembayaran sekitar RM700 hingga RM1,500 bergantung kepada caj dikenakan ejen masing-masing.

“Pada mulanya, mereka dijanjikan dengan cerita-cerita indah, di mana perjalanan pulang ke Indonesia itu akan melalui jalan laut dengan menaiki sebuah bot besar.

“Namun hakikatnya, mereka hanya diberikan bot yang daif dan dipenuhi dengan Pati lain seramai kira-kira 70 orang.

“Bayangkan bagaimana keadaan mereka yang perlu bersesak di dalam bot tersebut selama sembilan jam. Mereka memperjudikan nyawa untuk pulang ke kampung,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, tahun lalu Maritim telah berjaya menahan 302 Pati yang keluar dan masuk ke negara ini.

Menurutnya, sehingga Mac tahun ini, pihaknya juga telah membuat tangkapan ke atas 165 Pati.

“Kebanyakan bot ini disediakan oleh ejen yang berada di Malaysia dan Indonesia untuk memperdayakan Pati ini bagi dijadikan mangsa mereka.

“Dengan langkah ini, mereka dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda,” katanya.


Perketat operasi

Sewaktu sambutan Aidilfitri tahun ini, Mohd Rosli berkata, Maritim sememangnya akan meneruskan operasi seperti biasa bagi memantau kawasan perairan negara bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Menurutnya, individu yang cuba mengambil kesempatan hanya melakukan satu kesilapan besar memandangkan operasi akan diperketatkan lagi, khususnya melibatkan sindiket Pati secara haram.

“Tiada istilah rehat buat kami pada musim perayaan ini kerana anggota melakukan rotation tugas pada setiap tahun.

“Jadi perairan negara akan sentiasa dipantau bagi memastikan tiada sindiket Pati yang keluar masuk ke negara ini,” katanya.

Menurutnya, sindiket Pati yang aktif menjelang hari raya perlu dipantau kerana ia bukan sahaja melibatkan keselamatan negara, malah turut membabitkan keselamatan Pati yang menaiki bot tersebut.

"Terdapat kejadian bot karam yang berlaku sebelum ini sehingga meragut puluhan nyawa disebabkan oleh ciri-ciri keselamatan yang tidak diberi perhatian ejen yang tidak bertanggungjawab.

“Ejen hanya pastikan untuk penuhkan bot sahaja, tapi mereka tidak pedulikan keselamatan Pati di dalamnya yang perlu berhimpit selama sembilan jam. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Disebabkan itulah perkara ini perlu dibendung dengan sebaiknya oleh Maritim.

“Kalau sindiket ini tak dibendung, kita (Maritim) terpaksa lakukan usaha besar pula semata-mata bagi menyelamatkan Pati jika sesuatu berlaku,” katanya.

Mohd Rosli, Pati yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen.


0 comments:

share2