Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 26, 2017

SELANGOR CATAT KES TERTINGGI BUANG BAYI


buang bayi


Kuala Lumpur - Sebanyak 697 kes pembuangan bayi direkodkan bagi tempoh 2010 hingga 2016 dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi pada 157 kes, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, negeri lain yang merekodkan kes tertinggi ialah Sabah dan Johor dengan masing-masing 84 kes, diikuti Kuala Lumpur (65) dan Sarawak (49).

Beliau berkata sebanyak 91 kes dicatatkan pada 2010; 98 kes pada 2011 dan menurun kepada 89 kes pada 2012.

“Jumlah kes meningkat semula pada 2013, 2014, 2015 dan 2016 iaitu masing-masing 90 kes, 103 kes, 111 kes dan 115 kes,” katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) pada sesi pertanyaan jawab lisan.

Menjawab soalan tambahan Dr Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput), Rohani berkata sebanyak 35 bayi ditinggalkan di fasiliti ‘baby hatch’ sepanjang tempoh sama.

Mengenai isu kerakyatan bayi yang terdampar atau ditinggalkan di fasiliti itu, Rohani berkata pemberian kerakyatan tertakluk kepada Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagaimanapun katanya kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memastikan kebajikan bayi terbabit terbela dengan menempatkan mereka di institusi JKM atau keluarga pelihara sebelum membantu dalam proses permohonan kerakyatan.

“Ini termasuk menguruskan terlebih dahulu permohonan Daftar Lewat Kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara bagi kanak-kanak yang ditinggalkan dan belum memperoleh sijil kelahiran selain menguruskan permohonan kewarganegaraan kanak-kanak yang belum ditentukan kewarganegaraan dengan memanjangkan permohonan kepada KDN,” katanya.


0 comments:

share2