Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 12, 2017

[PEKAN] TIGA HAB PERCETAKAN MYKAD DI PAHANG


Tiga hub pencetakan MyKad di Pahang


Tiga Hab Projek Percetakan Teragih MyKad (DPP) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dilaksanakan di negeri ini membantu mempercepatkan proses penyerahan Mykad daripada 10 hari kepada hanya lima hari berkerja selepas permohonan dilakukan.

Hab DPP yang ada dapat membuat cetakan Mykad bagi 12 Sub Hab JPN mengikut kawasan.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Yazid Ramli berkata, tiga Hab DPP di negeri ini iaitu Hab JPN Pahang (Kuantan) yang akan membuat cetakan Mykad daripada Sub Hab JPN Pekan, Muadzam Shah, Rompin, Pulau Tioman dan Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Pahang.

Menurutnya, Hab JPN Temerloh akan membuat cetakan bagi sub hab JPN Bera, Mentakab, Jengka, Maran dan Jerantut manakala Hab JPN Raub akan membuat cetakan bagi permohonan MyKad dari Sub Hab Bentong dan Kuala Lipis.

Katanya, DPP Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Pahang hanya akan mencetak permohonan Mykad yang dibuat di pusat tersebut.

“Projek hab DPP ini merupakan penambahbaikkan kepada Sistem DPP di 55 pejabat DPP seluruh negara. Setiap hab dibekalkan mesin pencetak dan berkeupayaan mencetak 250 kad sehari.

“Melalui pelaksanaan projek ini, 36 daripada 55 pejabat DPP dijadikan Hab DPP yang akan mencetak permohonan Mykad daripada 157 Sub Hab berdekatan yang sebelum ini dicetak di ibu pejabat JPN.”katanya.

Beliau berkata demikian dalam siudang medianya selepas majlis Perasmian Hab Percetakaan Teragih Mykad Negeri Pahang di JPN Pekan di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah JPN Pahang, Nazrifairuz Mahmod.

Katanya, penambahbaikkan yang berterusan dilaksanakan JPN ini mempercepatkan tempoh siap Mykad antara 50 peratus hingga 77 peratus sekaligus menjimatkan tempoh serahan selain mengurangkan kos perkhidmatan pos, kos tenaga kerja dan pembangunan sistem.

“Projek DPP ini selaras dengan prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (Nbos) melalui kerjasama strategik bersama Pos Malaysia berhad dan syarikat pembekal,”Katanya.

Bagaimanapun menurutnya, usaha dilaksanakan JPN tidak membawa makna sekiranya orang ramai terus bersikap lewa tidak menuntut Mykad siap dalam tempoh itu.

“Setakat ini terdapat 159,000 Mykad siap yang tidak dituntut diseluruh negara dan daripada jumlah itu ada yang sudah siap lebih dua tahun lalu.

“Kita tidak pasti alasan atau faktor masalah ini namun tidak menolak ia disebabkan sikap orang ramai yang kurang kesedaran terhadap kepentingan pengenalan diri ini,”katanya.

Katanya, pihak jabatan sedang mempertimbangkan tindakan lebih tegas termasuk denda terhadap pemohon Mykad yang gagal menuntut dokumen pengenalan diri itu dalam tempoh ditetapkan.


0 comments:

share2