Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 27, 2017

[MARAN] TINGKAT KESEDARAN BAHAYA BULI


Tingkat kesedaran bahaya buli


Program No Bully Be A Buddy merupakan salah satu inisiatif yang dianjurkan di bawah program Latihan Akademik Empower Ecer bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar mengenai bahaya buli.

Eksekutif Pejabat Wilayah Negeri Pahang, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Mohd Afifi Mohd Shukri berkata, program itu turut memperkenalkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghentikan fenomena sosial itu.

Menurutnya, secara umumnya perlakuan buli lebih cenderung berlaku dalam kalangan pelajar lelaki, sama ada secara individu atau berkumpulan.

“Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat membimbangkan dan merisaukan semua pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

“Pelbagai penekanan serta maklumat kepada pelajar mengenai cara-cara untuk mengelak daripada terlibat dalam buli supaya lebih fokus kepada pendidikan mereka.

“Penting untuk kita tanam sikap saling sayang menyayangi dan tolong menolong sejak dari awal lagi.

“Perkara ini sekali gus mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif di sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Tengku Ampuan Afzan Chenor, Pahang.

Program anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu turut mendapat kerjasama dengan kehadiran Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Maran, Inspektor Nazri Yahya.

Mohd Afifi berkata, pihaknya merancang meneruskan program sama di seluruh sekolah menengah di daerah ini.

“Kami merasakan isu buli ini sangat serius, kerana ia turut melibatkan nyawa. Ini inisiatif kita dalam membantu pihak bertanggungjawab mengekang gejala itu.

“Jadi kami akan perluaskan lagi di semua sekolah di Maran...Insya-ALLAH,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Afifi berkata, Empower Ecer Pahang diperkenalkan di daerah Bentong pada tahun 2010, dan kini telah diperluaskan ke Cameron Highlands, Jerantut, Lipis, Maran, Pekan, Raub, Rompin, Temerloh, Kuantan dan Bera.

“Kini, terdapat seramai 1,400 peserta Latihan Akademik dan 420 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang telah dan sedang mengikuti program Empower Ecer di daerah Maran, Pahang dari tahun 2014 sehingga tahun 2016.

“Secara keseluruhannya, semenjak diperkenalkan pada tahun 2010 sehingga kini, terdapat seramai 36,496 peserta di Pahang yang merangkumi 28,361 peserta Latihan Akademik dan 8,135 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan,” katanya.


0 comments:

share2