Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 8, 2017

[LIPIS ] ‘MAK IKUT PEREMPUAN LAWA'


‘Mak ikut perempuan lawa’


Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak petang kelmarin ditemui selamat dekat kebun getah yang terletak kira-kira setengah kilometer dari rumahnya di Kampung Gua, Padang Tengku jam 10.04 pagi semalam.

Jemilah Mamat, 79, dipercayai keluar dari rumahnya tengah hari kelmarin namun tidak pulang hingga ke petang.

Anak mangsa, Ramli Salim, 55, berkata, bimbang dengan perkara yang tidak diingini berlaku, adiknya, Azmi Salim, 47, meminta bantuan orang kampung untuk mencari ibu mereka di sekitar kampung namun gagal.

Menurutnya, warga emas terbabit menghadapi sedikit masalah ingatan namun tidak pernah menimbulkan masalah dan sentiasa pulang ke rumah menjelang waktu petang.

“Mak memang selalu jalan-jalan ke rumah saudara mara yang terdekat tapi dia pulang ke rumah seperti biasa tambahan pula adik (Azmi) tinggal bersebelahan dengan rumah mak dan sentiasa pergi menjenguk.

“Kira-kira 11 pagi semalam (kelmarin) mak ada pergi rumah saudara dan pulang sekitar jam 1.30 tengah hari untuk masak nasi.

“Pukul 3 petang adik pergi rumah mak tapi mak tiada sebelum minta bantuan orang kampung,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sepakat minta bantuan pasukan penyelamat

Ramli berkata, setelah beberapa jam mencari tetapi gagal akhirnya mereka sepakat untuk meminta bantuan pasukan penyelamat untuk mengesan ibunya.

Tambahnya, pasukan penyelamat bekerjasama bersama penduduk kampung mencari hingga jam 3 pagi di sekitar kampung tetapi tidak berjaya.

“Pencarian disambung semula pada jam 7 pagi tadi (semalam). Alhamdulillah mak ditemui selamat sekitar jam 10 pagi oleh pasukan penyelamat.

“Syukur juga sebab mak tak ada cedera, cuma doktor yang merawatnya di Klinik Kesihatan Padang Tengku sahkan mak kekurangan air dalam badan, mungkin penat sebab hilang hampir 19 jam,” katanya.

Katanya, sejurus keadaan tenang dan ketika Jemilah menerima rawatan, dia sempat berbual dan bertanya ke mana ibunya itu pergi.

“Mak cerita dia ikut perempuan lawa dan cantik pergi ke tempat mereka, ada juga tiga orang lelaki ikut mak sekali.


Haslizan (duduk, kiri) bertanya khabar kepada Jemilah di Klinik Kesihatan Padang Tengku semalam.


“Mulanya saya terkejut tapi tak mustahil benda ni berlaku tambahan pula kita percaya ada makhluk ALLAH lain yang tinggal di bumi ni serta tak nampak dengan mata kasar.

“Saya pun tak mahu tanya beria, biarlah ia menjadi kisah mak saja, apa yang penting mak selamat dan tak cedera,” katanya kepada Sinar Harian.


0 comments:

share2