Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 4, 2017

[LIPIS] 13 KAMPUNG TENGGELAM


13 kampung tenggelam



Sebanyak 13 kampung sekitar daerah ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat luar biasa yang berlarutan selama lebih lima jam hingga pagi semalam.

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Ulu Teris, Bukit Belau, Kampung Jerangsang Hilir, Kampung Atong, Kampung Lalang, Kampung Lubuk Kulit, Kampung Putu, Kampung Kuala Kechau, Kampung Kemahang, Kampung Kuala Lanar, Kampung Rengai, Kampung Kuala Telang dan Kampung Bapong.

Kejadian banjir kilat berkenaan turut menyebabkan jalan-jalan utama ke kampung terlibat dinaiki air setinggi kira-kira 1.5 meter.

Ia turut mengakibatkan pelajar dan ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke sekolah terkandas ekoran paras air yang masih tinggi di permukaan jalan sekitar jam 7 pagi semalam.

Walau bagaimanapun air mulai surut sedikit demi sedikit jam 8 pagi dan tinjauan wartawan Sinar Harian sekitar jam 10 pagi mendapati penduduk mula membersihkan kediaman dan peralatan rumah.
Paras air naik cepat

Seorang penduduk Kampung Ulu Teris, Ramli Kamaruddin, 23, berkata, ketika kejadian dia sedang keluar minum bersama rakan-rakan di kedai berhampiran sekitar jam 11 malam.

Menurutnya, melihat hujan lebat berterusan turun dia mula rasa tidak sedap hati sebelum pulang ke rumah pada jam 12.30 tengah malam dan mendapati air mula naik hingga satu meter.

Abdul Rahman (tengah,) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir kilat di sini, semalam.


“Saya bersama mak, adik dan bapa saudara dengan segera alih motor dan barangan elektrik ke tempat selamat.

“Sekitar jam 1 pagi air mencecah paras 1.5 meter dan kami semua berjaga-jaga sampai pagi sebab risau air makin tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ramli berkata, kediamannya terletak kira-kira lima meter sahaja dari Sungai Teris dan limpahan air dari tebing sungai menyebabkan rumah yang dihuninya bersama ahli keluarga lain dimasuki air.
Tak sempat alih kereta

Seorang penduduk Kampung Bapong, Mokhtar Manja, 67, berkata, ketika kejadian dia bersama seorang anaknya sedang lena tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan orang kampung sekitar jam 4 pagi yang memaklumkan air telah naik di kawasan rumahnya.

Ramli menunjukkan kesan paras air banjir yang melanda kediamannya di Kampung Ulu Teris, semalam.


Menurutnya, dia bergegas bangun sebelum melihat air telah memasuki bahagian dapur, tempat letak kereta kereta dan halaman rumah.

“Masa jiran panggil tu, dia beritahu kereta pakcik masuk air tapi pakcik jawab tingkap kereta dah tutup kemas. Tapi rasa tak sedap hati pakcik pergi jenguk ke luar (halaman rumah) sebelum mendapati air dan penuh atas jalan.

“Pakcik ingat nak alih dua kereta yang ada ke tempat tinggi, tapi bila buka pintu kereta penuh air dekat tempat duduk, jadi pakcik terpaksa biarkan saja,” katanya.

Mokhtar berkata, sejurus air surut dia mula bertungkus lumus membersihkan bahagian dapur yang terjejas banjir serta halaman rumah daripada sampah sarap.


0 comments:

share2