Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 29, 2017

KUASA PEGUAM NEGARA TIDAK BOLEH DIPERSOAL DI MAHKAMAH


Kuasa Peguam Negara tidak boleh dipersoal di mahkamah


Putrajaya - Tiga pihak hari ini gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Mereka terdiri daripada bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Bar Malaysia (Badan Peguam Malaysia ).

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Mahkamah berpendirian, persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pemohon-pemohon sudah dijawab dan dimuktamadkan oleh keputusan-keputusan terdahulu bahawa budi bicara Peguam Negara yang termaktub di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh dipersoalkan.

Ketiga-tiga pihak memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 4 April lalu menolak rayuan mereka untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Mahkamah Tinggi pada 11 November tahun lalu menolak permohonan mereka untuk mencabar keputusan Mohamed Apandi yang menyatakan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah berhubung isu sumbangan derma RM2.6 bilion.


0 comments:

share2