Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 29, 2017

DESAK PBB LEBIH TEGAS LINDUNGI MASJID AL-AQSA


Masjid Al-Aqsa


Melaka - Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) mendesak agar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bertindak lebih tegas melindungi Masjid Al-Aqsa yang merupakan rumah ibadat suci ketiga bagi umat Islam.

Presidennya, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata DMDI percaya kunci dan jalan penyelesaian segala isu melibatkan Palestin dan rejim Zionis Israel termasuk Masjid Al-Aqsa terletak di tangan PBB dan sehubungan itu satu memorandum akan dihantar kepada PBB Isnin depan bagi menghentikan penindasan rejim tersebut.

"Saya lihat isu ini memang bertentangan dengan piagam PBB yang sepatutnya mempertahankan hak asasi manusia yang mana Israel tidak menghormati keputusan PBB mengenai bumi Palestin mesti bebas daripada pencerobohan kuasa asing.

"Dari dulu lagi kita tuntut mereka keluar, tetapi mereka (rejim Zionis Israel) besarkan lagi kawasan pencerobohan, terbaru halang pula umat Islam solat di Masjid Al-Aqsa," katanya kepada pemberita di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini semalam.

Terdahulu, kira-kira 100 anggota pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negeri ini berhimpun secara aman dan memegang poster serta sepanduk anti-Israel selama kira-kira 30 minit selepas selesai menunaikan solat Jumaat bagi menggesa umat Islam menentang kezaliman rejim Yahudi itu.

Antara NGO yang menyertai perhimpunan aman itu adalah DMDI, Gerakan Belia 4B Malaysia, Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Turut hadir Presiden Gerakan Belia 4B Mohd Nizam Omar yang mengetuai himpunan itu bagi mendesak PBB bertindak lebih tegas menangani pergolakan yang berlaku di bumi Palestin.

Mohd Ali berkata selain PBB, negara Islam dan umat Islam seluruh dunia perlu bersatu dalam usaha menyelamatkan masjid itu berikutan cubaan aktivis sayap kanan Yahudi dan rejim Zionis Israel yang menghalang umat Islam daripada menunaikan solat.

Katanya umat Islam harus bersikap lebih proaktif bersama-sama penduduk Palestin dalam menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa penting bagi umat Islam iaitu Israk dan Mikraj.

"Kekejaman ke atas masyarakat itu perlu dihentikan dengan segera dengan pengli­batan daripada semua pihak di samping terus memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan kekejaman mereka terhadap rakyat Palestin yang telah berlarutan sekian lama, terutama membabitkan isu Masjid Al-Aqsa.

"Perbuatan Israel menghalang umat Islam Palestin beribadat di dalam Masjid Al-Aqsa merupakan perbuatan biadap dan melanggar piagam PBB, dan ia perlu dihentikan segera selain dilihat sebagai usaha Israel untuk meningkatkan lagi jajahannya di tapak suci itu," katanya.


0 comments:

share2