Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 15, 2017

[KUANTAN] POLIS SERBU SARANG DADAH DI KAWASAN FELDA


PDRM


Polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri bersama 209 bebola besi dalam Ops Sarang Khas Narkotik yang dijalankan selama dua hari di sekitar kawasan Felda negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Superintendan Lam Thiam Huat berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seperti heroin, syabu dan daun ketum bernilai RM8,375.

"Hasil operasi bersepadu itu, kami menahan 305 orang termasuk 14 pengedar dalam operasi yang bermula 3.30 petang kelmarin sehingga petang semalam.

"Selain dua laras senjata api berkenaan kami turut merampas pelbagai jenis senjata lain termasuk sebilah padang samurai, sebilah pisau, satu buku lima dan sebilah gunting pokok yang telah diubah suai.

"Kesemua senjata itu dirampas daripada tiga lelaki berusia 36, 28 dan 23 tahun," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Thiam Huat berkata, selain itu polis turut menemukan tiga motosikal curi dalam operasi yang dijalankan oleh pegawai dan anggota IPK Pahang serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman itu.

Turut sama dalam operasi berkenaan ialah pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela serta polis sukarela.

"Kami dapati kawasan ladang kelapa sawit yang jauh dari penempatan penduduk itu sering dijadikan 'port penagihan dadah' penagih tempatan.

“Ada penagih yang bertindak melarikan diri apabila menyedari port mereka diserbu polis, tetapi mereka berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan," katanya.

Semua suspek berusia 19 hingga 56 tahun itu, katanya kini ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun.

Katanya, Ops Sarang akan diteruskan selepas mengenal pasti beberapa lagi lokasi sekitar daerah ini yang dijadikan sarang menagih dadah secara berkumpulan.

“Serbuan itu dilakukan mengikut maklumat orang ramai, kami harap masyarakat terus membantu polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penagihan dadah di kawasan masing-masing,” katanya.


0 comments:

share2