Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 2, 2017

[KUANTAN] LIMA PREMIS KENA GEMPUR


Lima premis kena gempur


Keratan akhbar kenyataan Ketua Pengarah Imigresen berhubung Ops Enforcement Card (E-Kad) terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) ditampal di dinding tempat bekerja dan penempatan mereka, berkemungkinan menjadi faktor kurangnya tangkapan dalam Ops E-Kad yang dilaksanakan di sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Imigresen Pahang, Sayed Abdul Rahman Sayed Mahmud berkata, ada kemungkinan Pati sudah tahu dan bersedia mengenai operasi besar-besaran yang akan dilaksanakan bermula semalam.

Justeru katanya, mereka bertindak melarikan diri ke luar kawasan sama ada ke penempatan saudara-mara atau kawan-kawan senegara.

“Di lokasi serbuan kita menemui terdapat kenyataan akhbar tersebut yang ditampal antaranya di tempat makan dan bilik tidur. Mereka bertindak bijak menjadikannya sebagai peringatan.

“Melalui risikkan maklumat diperoleh terdapat ramai Pati namun semasa operasi kita dapati ia berkurangan dan berkemungkinan mereka sudah mengetahui ada operasi akan dijalankan pihak Imigresen.

“Operasi yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 1 tengah hari itu membabitkan lima premis di beberapa kawasan seperti Batu 3, Kampung Pandan, Jaya Gading dan Jalan Pintasan Kuantan.

“Kita berjaya menangkap kira-kira 10 Pati daripada 58 pemeriksaan dilakukan membabitkan tiga warga Indonesia, tiga Myanmar dan empat dari Bangladesh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Pejabat Imigresen Pahang, di sini semalam.

Dalam pada itu, Sayed Abdul Rahman berkata, hasil siasatan awal dilakukan ke atas mereka kesalahan dilakukan adalah membabitkan tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang dokumen sah.

“Dengan itu, semua Pati yang ditahan akan disiasat di bawah Sekyen 15(1)(4) Akta Imigresen 1959 bagi kesalahan tinggal lebih masa manakala bagi tiada dokumen mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

“Mereka yang ditahan akan dihantar ke depoh tahanan sementara Imigresen di Ajil, Terengganu,” katanya.

Menurutnya, pihak Imigresen akan meneruskan operasi tersebut sehingga berjaya menangkap semua Pati yang berada di negeri ini.

“Selain itu, kita juga mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan kerana memberi perlindungan kepada warga asing.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi Program Pendaftaran E-Kad sementara di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Pahang, di sini, yang berakhir kelmarin, sebanyak 3,629 permohonan Pati diluluskan, manakala 1,318 pula daripada majikan.


0 comments:

share2