Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 12, 2017

JANGAN TERPENGARUH “WAYANG” DR.MAHATHIR





Georgetown – UMNO Pulau Pinang mengingatkan rakyat dan juga pakatan pembangkang supaya tidak sewenang-wenangnya terpengaruh dengan “wayang” dimainkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata Dr. Mahathir boleh melakukan ‘pusingan U’ pada bila-bila masa berdasarkan kepada rekod bekas perdana menteri itu sebelum ini.

“Kalau kita lihat tahun 1969 beliau (Dr. Mahathir) dipecat daripada UMNO di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Kemudian beliau keluar UMNO di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau masuk balik UMNO bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan kemudian keluar semula UMNO.

“Keluar masuk UMNO ini dah jadi kebiasaan kepada Dr. Mahathir, dah tiga kali. Jadi, jangan terkejut masa depan beliau akan masuk balik (UMNO). Senang sangat beliau ‘U-turn’ pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang dengan kerjasama JKP Sdn. Bhd., di sini, semalam.

Beliau menyifatkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Mahathir sejak kebelakangan ini sebagai satu “wayang” dan berharap rakyat serta juga pakatan pembangkang tidak mudah mempercayai dakyah itu.

Sementara itu, mengenai isu pemilihan semula anggota DAP seperti yang diarahkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Zainal Abidin meminta DAP supaya berhenti daripada menyalahkan RoS sebaliknya segera menjalankan pemilihan semula 20 anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Beliau berkata sudah menjadi kebiasaan DAP terutamanya kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan parti itu untuk meletakkan kesalahan pada orang lain jika berlaku bencana, malapetaka atau perkara yang tidak baik.

“Apa sahaja yang berlaku di Penang mereka salahkan Barisan Nasional, UMNO dan agensi kerajaan. Ini sudah sinonim dengan DAP. Benda tak baik mereka salahkan orang lain dan yang baik pula mereka punya. Jadi, berhenti daripada menyalahkan RoS. RoS adalah satu agensi kerajaan yang mengadakan tatacara dan peraturan seperti yang termaktub dalam undang-undang,” katanya.

Zainal Abidin berkata RoS tidak pernah pilih kasih dan perkara sama pernah berlaku pada beberapa UMNO cawangan yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

“UMNO sendiri ada 700 cawangan di Pulau Pinang dan 20,000 cawangan seluruh negara. Setiap tahun kita kena hantar Borang 9 (kepada RoS). Tak hantar mereka akan bagi surat amaran. Kalau surat amaran ini kita tak ambil tindakan mereka akan menyahsitakan atau batalkan penubuhan cawangan itu.

“UMNO kena selalu, banyak juga cawangan kita dibatalkan pendaftaran kerana tak hantar Borang 9. Tapi UMNO tak salahkan RoS. Kita salahkan diri kita sendiri dan kita buat rayuan balik supaya cawangan itu dihidupkan semula,” katanya.


0 comments:

share2