Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 12, 2017

[BERA] SYAWAL LEBIH BERMAKNA


Syawal lebih bermakna


Syawal tahun ini lebih bermakna bagi lima beranak yang sebelum ini menyewa di kawasan Kampung Bukit Serdang di sini, apabila dapat mendiami rumah baharu seminggu sebelum sambutan Aidilfitri setelah lebih setahun menunggu.

Osman Saini, 42, berkata, rumah mesra rakyat yang dibina di tanah tanah milik isterinya itu sudah lama siap, namun belum dapat diduduki kerana tiada kemudahan bekalan elektrik.

Menurutnya, dia dan keluarganya terpaksa menyewa sementara masalah itu ditangani dan kini mereka mampu menarik nafas lega apabila rumah yang diimpikan itu boleh diduduki.

“Lama juga menunggu nak masuk rumah ni. Lebih setahun dah siap, tapi sebab tak ada tiang elektrik, hasrat nak masuk rumah baru terpaksa tangguh sampailah masalah ni dapat perhatian pihak JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), Adun Guai, Dato' Norol Azali Sulaiman, dan TNB (Tenaga Nasional Berhad),” katanya.

Katanya, ketiadaan pucuk pimpinan dalam JKKK menyebabkan masalah ini sukar diatasi segera, namun dengan pelantikan Pengerusi JKKK, Abdul Rahim Yusoh pada Mac lalu, mempercepatkan proses permohonan bagi mendapatkan tiang elektrik di sepanjang jalan Kampung Bukit Serdang ini.

Menurut Osman, anak-anak paling gembira apabila berpindah masuk ke rumah baharu dan masing-masing teruja kerana boleh menghias bilik tidur dan rumah mereka mengikut kemahuan mereka.

Sementara itu, isterinya, Rohana Abd Rashid, 40, berkata, sebelum ini, mereka bukan sahaja perlu membayar sewa bulanan tetapi menjelaskan pinjaman rumah mesra rakyat itu sejak setahun lalu.

Katanya, apabila kemudahan elektrik tersedia, mereka tidak perlu bayar untuk dua buah rumah, dan ini secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan bulanan mereka.

“Di kawasan ni, ada lagi dua rumah yang dah siap dibina tapi pemilik tak dapat duduk sebab tak ada elektrik. Saya jangka, lepas ini akan lagi banyak rumah yang akan dibina di kawasan ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bantu selesaikan masalah kami, khususnya TNB yang menepati janji mereka untuk siapkan kerja mereka sebelum Syawal,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian bersama Abdul Rahim mendapati beberapa rumah sedang dibina berdekatan rumah Osman dan Rohana.

Abdul Rahim berkata, permohonan untuk pemasangan kemudahan elektrik di kawasan terbabit telah lama diluluskan oleh bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah beberapa tahun lalu namun ia hanya kelulusan lisan.

“Jadi, bila secara lisan, sukar ia dilaksanakan segera lebih-lebih lagi selepas bekas Pengerusi JKKK sebelum ini pula melepaskan jawatannya.

“Pada Mac lalu, saya membawa wakil TNB dan Adun Guai ke sini untuk mendalami masalah dihadapi keluarga Osman. Dan syukur, TNB memberikan respons segera,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh dua minggu, pihak TNB telah memulakan kerja pemasangan tiang elektrik dan kabel, seminggu sebelum Aidilfitri.

Beliau berkata, kawasan ini bakal dipenuhi dengan rumah baharu memandangkan kemudahan elektrik dan air sudah tersedia di sini.


0 comments:

share2