Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 1, 2017

TH PENDEK TEMPOH TUNGGU GILIRAN HAJI


Tunai Haji


Balik Pulau - Lembaga Tabung Haji (TH) menyasarkan tempoh menunggu tunai haji dipendekkan daripada 89 tahun kepada 50 tahun yang menggembirakan lebih 2.5 juta pendeposit.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sasaran tempoh itu adalah petunjuk prestasi utama (KPI) TH berikutan pola penambahan kuota haji rakyat negara ini semakin meningkat.

“Kita tidak mahu pendeposit menunggu sehingga 89 tahun untuk menunaikan haji dan sebab itu, kita berusaha kurangkan tempoh itu. Insya-ALLAH tahun depan kita akan dapat kouta 35,000 hingga 40,000 orang.

"Lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini membawa berita gembira kepada jemaah haji yang terpaksa menunggu lama untuk menunaikan ibadat haji,"katanya. kepada media ketika menghadiri Program Ziarah Kasih Ramadhan 2017 di sini semalam.

Terdahulu, Abdul Azeez bersama Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Adun Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah dan Adun Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad menyerahkan sumbangan kepada 1,500 penerima di Parlimen Balik Pulau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, seramai 87,932 orang akan menunaikan haji tahun ini.

Katanya, kerajaan sedang berusaha mendapatkan tanah di Makkah dan Madinah bagi membina Kompleks TH sebagai tempat penginapan jemaah haji Malaysia.

“Pada musim haji Julai ini, kita akan ke sana untuk berbincang dengan pihak kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez menafikan TH menggunakan wang pendeposit sebagai sumbangan kepada lebih 100,000 penerima di 50 kawasan parlimen.

“Wang sumbangan ini bukan milik pendeposit TH atau Umno, ia adalah milik Yayasan TH. Namun, untuk pemberian bagi 50 kawasan parlimen, kita memerlukan RM15 juta.

“Yayasan hanya ada RM7 juta namun sumbangan badan korporat termasuk Umno, kita berjaya kumpul sejumlah wang dan memberi sumbangan kepada keluarga yang memerlukan," katanya.


0 comments:

share2