Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 1, 2017

[KUANTAN] AGEN HARAM WAKAF AL-QURAN


Ejen haram wakaf al-Quran


Dorongan mempersiapkan diri dengan ‘saham akhirat’ seakan menjadi trend membuatkan semakin ramai umat Islam, khususnya di negeri ini mula terlibat dengan aktiviti pembelian al-Quran untuk diwakafkan bagi melengkapkan niat itu.

Namun masih terdapat segelintir masyarakat masih tidak mengetahui sejauh mana ketelusannya.

Sinar Harian telah melakukan tinjauan di sekitar kawasan tumpuan bagi mendapatkan pandangan orang ramai yang prihatin mengenai perkara ini.

Bagi Arman Mohd Salleh, 42, dia berasa sangsi setiap kali terjumpa dengan kumpulan yang melakukan aktiviti menjual al-Quran dengan tujuan berwakaf.

“Walaupun saya tak tahu sama ada mereka bergerak secara sindiket atau sebagainya, tapi ada kalanya pelik juga tengok harga terlalu mahal sampai cecah RM200 hingga RM300.

“Saya pernah juga terkena pujuk rayu mereka yang mendorong saya berwakaf. Mereka selalu tunggu di masjid lepas sembahyang Jumaat, tapi saya tolak.

“Sekarang saya dah mula ia tak betul dan sedih tengok orang salah gunakan agama sendiri. Pihak berkuasa perlulah memantau dan pihak majlis agama seharusnya diberi kuasa lebih untuk menghapuskan kegiatan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Anita Mohd, 46, berkata, apabila melihat orang meminta sedekah atau tujuan berwakaf pastinya teruja kerana pengetahuan tentang kelebihan bersedekah sudah semakin banyak diwar-warkan.

“Sebelum tahu kemungkinan ada yang menyeleweng, saya pun pernah wakaf tapi tak pernah tanya apa-apa. Sebab mereka dah terangkan siap-siap tentang sijil dan bagi resit.

“Saya harap ia tak berlaku lagi kepada saya dan orang lain. Kena banyak hati-hati,” katanya.

Sementara itu, Mohd Aizat Mohd Ali, 28, berkata, isu tersebut akan menjadi lebih serius sekiranya tidak dibendung kerana ia boleh mencetuskan kepada eksploitasi agama.

“Tak sepatutnya mereka ambil untung daripada al-Quran. Mereka dah nyatakan pemberi wakaf berkaitan saham akhirat, sedangkan pihak terbabit cuba ambil kesempatan dengan tidak cara tak betul.

“Kita kena lebih peka dan ambil tahu bahawa setiap negeri sudah mempunyai majlis agama Islam sendiri, jadi lebih baik hal ehwal wakaf terutama melibatkan al-Quran dirujuk kepada mereka,” katanya.

Aktiviti tak dapat kebenaran Muip

Dalam pada itu, aktiviti tersebut didakwa telah dilakukan dengan bantuan ejen haram yang rata-ratanya telah dikenal pasti tidak mendapat kebenaran bertulis Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan ketika ditemui berkata, untuk menjalankan kegiatan sama ada mengutip derma atau pemberian wakaf perlu mendapat kebenaran Muip terlebih dahulu.

Jelasnya, setakat ini pihak majlis tidak mendapat sebarang permohonan bagi aktiviti wakaf malah tidak memberikan sebarang kelulusan.

“Isunya di sini kita melihat perkara seperti ini tidak diberikan kebenaran kerana banyak kegiatan palsu dan bertujuan untuk membiayai syarikat atau kumpulan tertentu.

“Sekiranya betul-betul mereka memerlukan kutipan derma atau wakaf untuk orang Islam dia seharusnya cuba untuk memohon kebenaran tetapi sebaliknya ada yang beroperasi di sebalik perniagaan lain (sembunyi).

“Wakaf al-Quran tak ada. Dulu ada kita buat untuk hantar ke luar negara seperti di Filipina, tapi cuma ada tempoh tertentu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut yakin mereka melakukan perbuatan tersebut berikutan sikap umat Islam itu sendiri begitu pemurah lebih-lebih lagi apabila didorong untuk bersedekah ke jalan ALLAH SWT.

Menurutnya, ejen haram itu mempunyai modus operandi tersendiri untuk memperdayakan orang ramai terutama yang naif berkaitan perwakafan hinggakan tanpa segan silu memujuk di lokasi tumpuan.

“Mereka dilihat ada yang membawa al-Quran, tapi tak pula diberikan kepada orang membayarnya malah menawarkan harga terlalu mahal yang kita boleh dapat sendiri di kedai dalam lingkungan RM50 hingga RM150 tetapi mereka jual sampai RM500.

“Malah terdapat juga kumpulan yang tak jual terus, tapi menetapkan pula harga sehingga RM500 ataupun dengan cara lain orang boleh bagi sumbangan untuk mewakaf al-Quran tapi tak dibahagi kepada yang berhak. Kita sendiri tak dapat pastikan sama ada sampai ke masjid, maahad atau tidak,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihak Muip telah menetapkan mengutip derma bagi tujuan agama ataupun untuk tujuan kebajikan orang Islam tidak boleh dilaksanakan sewenangnya.

“Bagi urusan wakaf dan derma hanya pihak majlis sahaja yang boleh melaksanakannya.

“Perkara tersebut ada disebut di dalam peruntukan Seksyen 86 (1) (4) (5) dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991.

“Dalam perkara itu menyatakan bahawa majlis berhak memungut dan atau memberi surat kebenaran bagi tujuan agama atau kebajikan umat Islam dan tidak seorang pun boleh membuat pungutan tersebut kecuali kebenaran bertulis majlis,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya telah menetapkan, mengutip sebarang derma bagi tujuan agama ataupun untuk tujuan kebajikan orang Islam tidak boleh dilaksanakan sewenangnya.

Jaip sentiasa buat pemantauan

Sementara itu, dalam bidang penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) sentiasa memantau aktiviti tersebut dari masa ke semasa bagi mengelak penyelewengan dan pengeksploitasian terus berlaku.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jaip, Adnan Mamat berkata, aktiviti wakaf al-Quran ini menyasarkan lokasi tumpuan utama orang ramai.

“Aktiviti wakaf al-Quran yang dilihat menjual kitab suci bagi mendapatkan wang derma ini berlaku di seluruh daerah di negeri ini.

“Namun fokus utama mereka adalah di bandar besar dan ramai orang, dan kerana itu kebanyakannya memilih untuk berada di depan bank, pasar malam dan pejabat besar,” katanya.

Katanya lagi, pendekatan tersebut juga telah diambil kira untuk kepentingan khairat bagi umat Islam keseluruhannya dengan itu sekiranya mereka terus beroperasi perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak majlis agama.

“Berdasarkan peruntukan Seksyen 86 (1) (4) (5) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 telah menyatakan mana-mana individu ingin mengutip derma untuk kepentingan umat Islam memerlukan kebenaran majlis agama Islam.

“Jika tiada kebenaran, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambahnya, setakat operasi yang dijalankan sepanjang 2016, sebanyak 19 kes penipuan wakaf dan derma tanpa kebenaran telah berjaya dipatahkan oleh Jaip.

Pastikan dapat kebenaran majlis agama

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membeli wakaf al-Quran untuk diwakafkan di masjid dinasihatkan mendapatkan kepastian bahawa ejen yang menjalankan aktiviti pewakafan al-Quran ini mendapat kebenaran majlis agama.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman berkata, perkara itu perlu dilaksanakan untuk memastikan ejen yang menjalankan aktiviti tersebut sah dan tidak mengeksploitasi kitab suci bagi mengaut keuntungan peribadi.

Menurutnya, amalan mewakafkan al-Quran adalah perbuatan yang baik dan ada ganjarannya sekiranya kitab suci itu ditempatkan yang betul.

“Justeru saya minta mereka yang telah mewakaf pastikan al-Quran yang diwakafkan itu boleh diambil sebab dia dah beli. Jadi hak dia sama ada hendak serah balik untuk mewakafkan di tempat-tempat yang tertentu bukannya yang terjadi macam sekarang ini.

“Jadi sebab itu, pembeli al-Quran untuk diwakafkan perlu memastikan ejen yang sah. Ia bagi mengelak perkara tidak baik seperti kita tak tahu al-Quran yang kita beli sudah dijual kepada orang lain dan mungkin ada dua, tiga al-Quran tetapi diwakafkan kepada 20 orang.

“Perkara ini perlu diperhatikan secara lengkap bagi mengelak adanya individu yang menyalahgunakan kitab suci itu bagi kepentingan diri mereka,” katanya ketika di sini.

Abdul Rahman memaklumkan, individu yang melakukan pembelian kitab suci itu akan mendapat ganjaran pahala kerana sudah bersedekah.

Bagaimanapun, ejen yang menjalankan kerja wakaf akan mendapat dosa sekiranya aktiviti atau perniagaan wakaf yang dijalankan berunsurkan penipuan.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar penjualan al-Quran untuk diwakafkan itu tidak dilakukan di kaki lima atau pasar malam, sebaliknya ia perlu dijual di tempat yang khusus.

“Ini kerana kita nak elak perkara yang boleh menjatuhkan imej al-Quran itu sendiri. Bila ada tempat khas bagi penjualan wakaf ia lebih baik daripada dijual di tempat terbabit (kaki lima),” katanya.




0 comments:

share2