Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 5, 2017

[RAUB] TNB MENGIMARAHKAN BULAN RAMADAN BUAT MASYARAKAT


Megat Jalaluddin (tiga,kiri) diiringi Aziz (dua,kiri) dan Sharuddin (empat,kiri) menyampaikan sumban


Bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan melaksanakan program Ihya Ramadan ke seluruh negara.

Program sumbangan kepada masyarakat setempat yang melibatkan semua negeri itu mula dilaksanakan di Perak pada 30 Mei lalu dan dijangka berakhir di Putrajaya pada 15 Jun ini.

Ketua Pegawai Strategi TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, program tahunan yang telah dilaksanakan lebih 10 tahun itu merupakan salah satu daripada CSR TNB kepada masyarakat di negara ini.

Menurutnya, selain menyalurkan bantuan berupa wang tunai dan juga barangan keperluan kepada golongan kurang berkemampuan melalui program itu, pihak TNB turut menyalurkan bantuan kepada masjid.

"Kita ingin bersama menjalinkan hubungan dengan masyarakat setempat bukan sahaja untuk memberi tenaga elektrik tetapi TNB melaksanakan program ini sebagai salah satu CSR kerana kita ingin membantu golongan memerlukan terutama pada bulan Ramadan.

"Jadi kita berharap program yang dilaksanakan setiap tahun ini akan memberikan keceriaan kepada masyarakat setempat dalam bulan Ramadan dan menyambut syawal khususnya," katanya dalam sidang media pada Majlis Ihya Ramadan TNB 2017 peringkat negeri Pahang di Masjid Umar Al-Khattab Batu Malim di sini, kelmarin.

Turut hadir sama, Adun Batu Talam, Datuk Aziz Mat Kiram dan Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Ir. Sharuddin Mohd. Simin.

Pada majlis itu seramai 54 orang termasuk 39 ibu tunggal, lima anak yatim dan 10 Orang Kurang Upaya (OKU) menerima sumbangan daripada TNB.

Tambahnya, melalui program itu pihaknya akan memilih satu atau dua buah masjid disetiap negeri bagi mengadakan program dan menyalurkkan bantuan kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Aziz berkata, program itu amat signifikan dalam usaha TNB membantu golongan yang memerlukan seperti anak yatim dan OKU di kawasan itu sempena Ramadan.

Menurutnya, selain memberikan keceriaan dan meringankan beban kepada golongan memerlukan ia juga dapat merapatkan hubungan masyarakat dengan TNB.

"Saya mewakili masyarakat di sini mengucapkan terima kasih kepada TNB yang memilih masjid ini dalam melaksanakan program bermanfaat ini, ia juga dapat memberikan peluang kepada masyarakat mengenali TNB dengan lebih dekat," katanya.


0 comments:

share2