Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 12, 2017

[PEKAN] TERIMA TEMPAHAN 2,000 SONGKOK


Terima tempahan 2,000 songkok


Menjelang Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi, selain kuih raya dan baju Melayu, songkok turut menjadi perhatian ramai.

Antara tidak menang tangan menyiapkan tempahan ialah Mohd Nasrul Hassan, 45, yang terkenal dengan kualiti jahitan songkok dihasilkannya yang halus dan berkualiti tinggi.

Ketelitiannya menghasilkan songkok sudah diketahui umum khususnya dalam kalangan pelanggan tetapnya di Pekan.

Mengusahakan pembuatan songkok di Bazar Muhibah Bandar Pekan, hasil tangannya turut mendapat perhatian Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang gemar memakai songkok buatannya.

Mohd Nasrul berkata, sepanjang Ramadan, tempahan diterimanya bertambah empat kali ganda, menyebabkan dia terpaksa menolak tempahan kerana bimbang tidak mampu menyiapkannya.

Dia yang mewarisi kemahiran membuat songkok daripada arwah bapanya, Hassan Jantak mula membuat pelbagai jenis songkok sejak di bangku sekolah pada 1992.

“Disebabkan minat, saya teruskan aktiviti buat songkok selepas tamat sekolah bersama arwah bapa yang sememangnya terkenal dengan kemahiran buat songkok. 


Sebahagian songkok yang dihasilkan dan dijual oleh Mohd Nasrul di kedainya di Bazar Muhibah Bandar Pekan.


“Pembuatan songkok berkualiti ambil kira kekemasan jahitan dan jenis kain baldu digunakan,” katanya.

“Setiap kali Ramadan, saya mampu jual hingga 2,000 songkok, selain pelanggan tetap ada juga kali pertama cuba songkok buatan saya,” katanya.

Mohd Nasrul berkata, kebiasaannya pelanggan akan membuat tempahan beberapa bulan sebelum Ramadan dan akan mengambil songkok mereka beberapa hari sebelum Aidilfitri, namun ada juga yang membeli songkok yang sudah siap kerana kualitinya sama sahaja.

Saat paling manis buatnya adalah menerima tempahan untuk menghasilkan songkok Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata, sejak lebih 25 tahun menjalankan perniagaan, lebih 20 biji songkok dihasilkan khas mengikut cita rasa Sultan Pahang dengan identiti utama kain baldu berwarna hitam dan saiznya yang rendah daripada biasa serta sedikit bulat di bahagian depan.

Selain Sultan Ahmad Shah, Mohd Nasrul juga pernah membuat songkok untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berasal dari Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Mohd Nasrul mampu menghasilkan 50 hingga 60 biji songkok pelbagai jenis dan saiz sebulan dan sebiji songkok ia mengambil masa tiga hingga empat jam untuk disiapkan.


0 comments:

share2