Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, June 12, 2017

[KUANTAN] PADAH GUNA NOMBOR PENDAFTARAN PALSU


Padah guna nombor pendaftaran palsu


Seorang penganggur yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 menggunakan nombor pendaftaran palsu ditahan selepas nekad melalui pemeriksaan polis dalam sekatan jalan di Jalan Pintasan Kuantan, kawasan Bukit Rangin, di sini kelmarin.

Hasil pemeriksaan ke atas motosikal ditunggang lelaki berusia 31 tahun berasal daripada Kemaman, Terengganu itu mendapati nombor pendaftarannya didaftarkan pada kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam operasi kira-kira jam 11 malam itu, anggotanya sudah memerhatikan lelaki terbabit yang menunggang dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis arahkan lelaki itu berhenti di tepi jalan untuk pemeriksaan dan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati nombor pendaftaran motosikal ditunggang suspek palsu sebelum lelaki itu dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut.

“Malah lelaki terbabit turut mengaku melakukan perbuatan berkenaan kerana mahu mengelirukan polis ketika beraksi liar di jalan raya,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata, pihak polis turut menyita motosikal berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 108 (3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis mengesahkan suspek bersama motosikal miliknya bebas daripada kegiatan jenayah,” katanya.

Dalam operasi itu juga, polis memeriksa 248 kenderaan dan mengeluarkan 355 saman atas pelbagai kesalahan termasuk memandu laju.


0 comments:

share2