Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 23, 2017

PAHANG LAKSANA KEMPEN KESEDARAN ANTI BULI



Kerajaan negeri akan melaksanakan kempen kesedaran antibuli bagi mengekang gejala sosial yang semakin membimbangkan kebelakangan ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato' Shahaniza Shamsuddin.

Beliau berkata kempen itu akan melibatkan kerjasama antara jabatan kerajaan, sekolah rendah dan menengah serta ibu bapa terutamanya supaya mereka lebih peka dengan gejala itu dan perubahan tingkah laku anak yang menjadi mangsa buli.

"Penglibatan ibu bapa penting kerana kebanyakan kes buli berpunca akibat perbezaan dalam diri mangsa buli. Ibu bapa perlu mengajar anak mereka untuk menerima dan bertoleransi dengan perbezaan dalam kalangan rakan sekolah.

"Cara pembesaran setiap individu sudah pasti berbeza-beza mengikut keluarga dan tidak mengapa jika orang itu berbeza. Penting untuk ibu bapa tekankan aspek menghormati perbezaan itu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya masih belum menerima aduan berkaitan kes buli, namun menyifatkan kempen itu perlu diadakan lebih awal sebelum kejadian tidak diingini berlaku di negeri ini.

Pada kempen itu, Shahaniza berkata pihaknya juga akan mempromosikan kempen 'Klik Dengan Bijak' yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menangani buli siber yang juga boleh mengganggu emosi mangsanya.

"Ada yang tidak sedar bahawa membuat komen dalam talian dengan niat jahat atau tidak baik mengenai seseorang dan menyamar sebagai orang lain adalah bentuk buli siber.

"Mereka melihat perbuatan ini sebagai suka-suka sedangkan di pihak satu lagi, mereka boleh berasa hati. Ini antara bentuk buli secara halus yang akan ditekankan dalam kempen kita nanti," katanya.

Mengulas mengenai bangunan baharu Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang yang bernilai RM45 juta di Kemunting di sini, Shahaniza berkata bangunan itu dijangka akan dibuka Julai ini.

"Setakat ini, kerja-kerja kemasan reka bentuk yang berkonsepkan ciri tradisional Pahang seperti tenun Diraja Pahang masih berjalan. Bagaimanapun urusan pentadbiran sudah beroperasi di bangunan baharu itu," katanya.

Bangunan yang didirikan di kawasan seluas 1.6 hektar dan menggunakan teknologi hijau serta mesra orang kelainan upaya (OKU) itu adalah untuk menggantikan bangunan lama di Jalan Gambut di sini, yang dikatakan kurang strategik apabila ramai tidak menyedari kewujudannya.


0 comments:

share2