Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 23, 2017

[LIPIS] HADIAH AIDILFITRI PALING BERMAKNA


Hadiah Aidilfitri paling bermakna


Seorang ibu tunggal di Kampung Padang Puyuh, Kerambit di sini menyifatkan sumbangan barangan keperluan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandar Tun Razak Jengka sebagai hadiah Aidilfitri yang sangat bermakna bagi keluarganya.

Siti Rohani Saleh, 45, berkata, dia bersyukur dengan pemberian bantuan UiTM berupa barangan keperluan harian, kelengkapan hari raya buat anak-anaknya selain kelengkapan rumah.

“Terima kasih, sumbangan ni diterima masa Ramadan. Boleh dikatakan hadiah hari raya paling bermakna,” katanya selepas menerima kunjungan Rektor UiTM Cawangan Pahang, Profesor Dr Mohd Nazip Suratman yang menyampaikan sumbangan tersebut hasil kerjasama Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Pahang dan Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan, semalam.

Anak ketiga Siti Rohani, Siti Nurul Azwani, 19, berkata, pemberian sumbangan itu meringankan beban ibunya untuk membuat persiapan Aidilfitri yang akan dijangka diraikan hujung minggu ini.

"Saya pelajar tahun dua jurusan Pengurusan Pejabat di UiTM Jengka. Saya rasa terharu sangat sebab UiTM sudi hulurkan sedikit bantuan kewangan untuk kami beli keperluan harian selepas Aidilfitri nanti.

“Alhamdulillah syukur sebab kesusahan hidup kami sekeluarga dapat perhatian UiTM ,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazip berkata, pemberian sumbangan itu menunjukkan keprihatinan warga UiTM Pahang dalam meringankan beban keluarga tersebut.

“Kita berharap agar kesusahan hidup yang dialami oleh keluarga Siti Nurul Azwani tidak mematahkan semangatnya untuk belajar dengan lebih cemerlang,” katanya.

Kesusahan hidup Siti Rohani yang kehilangan suami tercinta, Azhar Omar, 47, pada Januari lalu dan membesarkan empat dari enam anaknya yang masih belajar pernah dilaporkan Sinar Harian 26 April lalu.

Lebih memeritkan, dua anaknya, Muhamad Nur Hairul Azreen, 5, menghidap penyakit tibi dan asma sementara anak bongsu, Muhamad Nur Hairien, 1, disahkan menghidap penyakit asma kronik serta jangkitan kuman pada paru-paru.


0 comments:

share2