Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 8, 2017

LAHAD DATU: 9 WARGA FILIPINA PATUT DIHUKUM MATI


Mahkamah


Putrajaya - Sembilan warga Filipina patut dijatuhi hukuman mati kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana mereka memainkan peranan penting dalam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013 untuk menuntut Sabah secara kekerasan, Mahkamah Rayuan diberitahu semalam.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, lelaki berkenaan merupakan warga asing yang menceroboh masuk ke Sabah untuk menuntut negeri itu sebagai milik mereka.

"Terdapat bukti bahawa mereka bersimpati, menggalakkan, memulakan dan membekalkan maklumat sesama mereka," katanya dalam hujahan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada hari kedua pendengaran rayuan.

Beliau berkata, rundingan telah diadakan antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan bersenjata itu di Kampung Tanduo, Lahad Datu tetapi rundingan itu gagal.

Wan Shaharuddin berkata, lelaki berkenaan memilih untuk tidak mematuhi arahan pihak berkuasa Malaysia untuk meninggalkan Sabah, sebaliknya mereka bersedia untuk pertumpahan darah dan berperang.

Lelaki berkenaan ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 54, anak Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu, Julham Rashid, 70, Virgilio Nemar Patulada @ Mohamad Alam Patulada, 53, Salib Akhmad Emali, 64, Tani Lahad Dahi, 64, Basad H. Manuel, 42, Atik Hussin Abu Bakar, 46, Al-Wazir Osman, 62, dan Ismail Yasin, 77.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada tahun lepas yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap sembilan lelaki itu.

Pada masa sama, sembilan lelaki itu juga merayu terhadap sabitan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong semasa pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Februari dan 10 April, 2013.

Semasa pertempuran itu, sembilan anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh.

Terdahulu dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan di Jabatan Peguam Negara dalam hujahannya berkata ini bukan merupakan kes budak lelaki kampung menumbuk dan membunuh budak lelaki kampung lain.

Beliau menegaskan ini adalah kes yang boleh menyebabkan perang antara dua negara dan melibatkan kedaulatan negara dan rakyatnya, oleh itu keselamatan negara adalah amat penting atau jika tidak akan berlaku huru hara dalam negara.

Awang Armadajaya berkata, prosiding rayuan kes itu diadakan di Putrajaya atas faktor keselamatan.

Peguam Datuk N. Sivananthan dalam hujahnya berkata, sabitan ke atas sembilan anak guamnya tidak boleh dikekalkan kerana hakim perbicaraan telah menggunakan beban bukti yang salah dalam mensabitkan mereka.

"Hakim perbicaraan mempunyai tanggapan yang salah kerana mereka telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas dan dengan itu mereka semestinya telah turut serta dalam melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Semalam, sembilan lelaki itu merupakan antara 16 tertuduh yang menarik balik rayuan mereka terhadap hukuman penjara antara 13 tahun dan 18 tahun bagi pertuduhan melakukan kesalahan berkaitan keganasan termasuk menjadi anggota kumpulan pengganas.

Sivananthan berkata tiada bukti kukuh untuk mengaitkan kesemua anak guamnya dengan pertuduhan melancarkan perang, dan menurutnya tidak boleh dibuat andaian bahawa mereka ialah penceroboh bersenjata hanya kerana mereka mengaku salah menjadi anggota kumpulan itu.

Hakim Datuk Setia Mohd Zawawi Salleh yang mempengerusikan panel itu menangguhkan prosiding ke esok untuk keputusan rayuan berkenaan.

"Mungkin kami dapat sampaikan keputusannya esok. Jika kami tidak dapat, kami akan umumkan (esok) untuk hari lain ditetapkan bagi keputusan," katanya.



0 comments:

share2