Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 22, 2017

[KUANTAN] KUTIPAN ZAKAT MENINGKAT 45 PERATUS


Kutipan zakat meningkat 45 peratus


Prestasi kutipan zakat seluruh negeri Pahang berada pada landasan baik apabila meningkat 45 peratus atau RM16.3 juta didorong peningkatan jumlah pembayar termasuk syarikat korporat.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, sehingga 15 Jun lalu, seramai 69,443 pembayar zakat menunaikan tanggungjawab iaitu meningkat sebanyak 2,554 pembayar dengan jumlah kutipan RM52.2 juta.

Bagi tempoh sama pada 2016, bilangan pembayar zakat 66,889 pembayar dengan kutipan RM36.2 juta.

Menurut baginda, penyumbang terbesar kutipan zakat melalui zakat perniagaan badan korporat dan peniaga membabitkan RM19.8 juta manakala zakat daripada potongan gaji berjumlah RM17.6 juta.

“Bagi 2017, jumlah kutipan zakat disasarkan RM120 juta tidak termasuk zakat fitrah dengan bilangan pembayar seramai 83,000. Sasaran kutipan tahun ini sedikit rendah berbanding sasaran pada 2016 iaitu pada RM133.3 juta,” titah baginda pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat sempena Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan di Istana Abdulaziz, di sini, kelmarin.

Penyerahan zakat perniagaan itu dilaksanakan Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad, QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd, Pahang Skills Development Centre, Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Rompin melibatkan jumlah keseluruhan RM2.36 juta.

Hadir pada majlis itu, Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan serta Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Dato Haji Halidan Md Daud dan Mufti Pahang Dato' Sri Dr Abdul Rahman Osman.

Titah baginda, bagi mencapai sasaran kutipan, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang mengenal pasti lima bidang utama yang perlu dilaksanakan iaitu zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, dakwah dan promosi serta aplikasi teknologi komunikasi dan maklumat serta media sosial.

Selain itu dalam masa terdekat PKZ Pahang akan melancarkan aplikasi mudah alih baharu untuk kegunaan orang ramai.

Sementara itu, baginda bersama isteri, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meraikan golongan asnaf sempena Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan di Istana Abdulaziz, di sini.

Pada majlis sama, baginda berdua turut meraikan tetamu terdiri termasuk Menteri Besar, Dato; Sri Diraja Adnan Yaakob dan barisan kepimpinan negeri.

Turut diraikan, ketua-ketua jabatan dan penghulu-penghulu mukim dari seluruh negeri Pahang dan pengamal media.

Majlis diserikan dengan kehadiran Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Sultan Ahmad Shah dan Tengku Amir Nassir Ibrahim Shah.


0 comments:

share2