Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 22, 2017

[KUANTAN] ANAK-ANAK YATIM, ASNAF TERIMA BAJU RAYA



Anak-anak yatim, asnaf terima baju raya


Perasaan gembira dan teruja jelas terpancar pada wajah seramai 43 asnaf, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dari keluarga asnaf sekitar Nenasi, Kuala Pahang dan Kuantan apabila diberi peluang membeli-belah persiapan Aidilfitri di Pasaraya Mydin Kuantan hari ini.

Mereka menerima sumbangan baju raya dan kuih raya dalam Projek Baju Raya Matahari anjuran Universiti Malaysia Pahang ( UMP) dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (Matahari) bersempena program Jejak Asnaf hasil inisiatif MyGift yang diperkenalkan Universiti.

Penerima yang ditemui, Noriah Ibrahim , 33, berkata, dia menerima sumbangan untuk ketiga -tiga anaknya yang berusia 11,9 dan 5 tahun.

Dia yang tinggal di Kampung Serun Dalam , Nenasi bersyukur kerana ada yang prihatin terhadap mereka sekeluarga.

Katanya, suaminya, Isa Ahmad, 57, bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu.

"Alhamdulillah, saya gembira anak-anak dapat baju baru," katanya ketika ditemui pada program itu.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin dan Presiden Persatuan Matahari ,Prof Datin Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim.

Sementara itu, Yuserrie, program menyantuni keluarga ini adalah hasil kesinambungan program MyGift yang dijalankan sepanjang tahun terutamanya dalam usaha membantu komuniti setempat.

"Bantuan ini sekurang-kurang dapat membantu meringankan beban dan merasai nikmat berhari raya dengan lebih bermakna serta menyemarakkan keindahan Ramadan dan menjelangnya Aidil Fitri tidak lama lagi, " katanya.

Bersempena Ramadan juga UMP berkerjasama dengan UDA Holdings Berhad menganjurkan Program Indahnya Ramadan UDA-Komuniti 1 Malaysia (KIM) dan Majlis Berbuka Puasa, program Singgah Sahur, Raikan Ramadan UMP-Kelab Program Mesra Dakwah (PERAMAH) dan Jejak Asnaf dengan memberi sumbangan keperluan harian dan baju raya kepada golongan asnaf sekitar Kuantan dan Pekan.

Dalam pada itu, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dan Universiti Awam yang berteraskan bidang-bidang kejuruteraan, teknikal dan teknologi, UMP sentiasa komited untuk membuka ruang kerjasama dengan industri dalam pelbagai lapangan termasuklah bidang kesukarelawanan.

Selain itu, program ini juga berjaya mengeratkan hubungan baik dan kejituan sinergi antara UMP dengan pihak luar dalam konteks pelaksanaan inisiatif berkaitan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi manfaat masyarakat terutamanya di Kuala Pahang.

Manakala bagi Prof Dr Mimi Sakinah berjaya, pihak persatuan sentiasa prihatin membantu golongan Ibu tunggal, anak yatim dan asnaf.

"Sepanjang bulan ini sahaja lebih 200 orang daripada golongan sasar termasuk pelajar dari keluarga susah menerima bantuan barangan keperluan asas, kit pembersihan dan kuih raya yang diagihkan melibatkan sukarelawan daripada Jabatan Pendaftar, Pusat Islam dan Pembangunan Islam serta ahli persatuan,"katanya.


0 comments:

share2