Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 13, 2017

KEAMANAN NEGARA HASIL PENGORBANAN PASUKAN KESELAMATAN


Najib Tun Razak


Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keamanan negara tidak mungkin mampu dicapai tanpa adanya langkah pencegahan awal dan pengorbanan pasukan keselamatan negara.

Perdana Menteri berkata, jasa mereka membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan harian tanpa perasaan bimbang dan ia terbukti apabila negara tersenarai dalam kedudukan ke-30 daripada 163 negara paling aman berdasarkan Indeks Keamanan Dunia.

"Bila kita tengok dalam televisyen, Manchester, Kabul, Jakarta, Marawi (Minandao). Alhamdulillah tak ada Kuala Lumpur atau bandar-bandar lain disebut.

"Saya gerun setiap kali tengok televisyen, takut berlakunya sesuatu tapi tak berlaku kerana... ia (keamanan) tidak berlaku secara kebetulan... tak berlaku kerana apa? Kerana pengorbanan pasukan keselamatan kita, kerana langkah-langkah yang diambil terlebih dahulu...kita berani buat," katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Ramadan 2017 bersama Pasukan Beruniform anjuran Pergerakan Wanita Umno di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Bendahari Umno, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Pada majlis berkenaan sebanyak 11,250 pek sumbangan Aidilfitri mengandungi pakaian dan kuih raya diserahkan kepada wakil daripada 13 badan beruniform.

Najib, yang juga Presiden Umno, melahirkan penghargaan terhadap anggota pasukan keselamatan yang menurutnya rela berkorban dan bertugas walaupun pada hari perayaan.

"Alhamdulillah di Malaysia ini, bila kita sebut nikmat Ramadan, kemanisan Ramadan, tak mungkin kita dapat merasai tanpa wujudnya keamanan dan keselamatan di dalam negara kita ini.

"Inilah kalau dikatakan nilai dan tak mungkin dapat kita bayar pengorbanan tuan puan dengan bungkusan yang kita berikan hari ini. Ia tidak setanding dengan pengorbanan angkatan tentera kita ..tiada ternilai tetapi kita bagi dengan hati yang ikhlas," katanya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa lakukan yang terbaik mengikut kemampuan negara untuk menjaga kebajikan pasukan keselamatan.


0 comments:

share2