Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 9, 2017

'BEREHAT' DI NERAKA?


takwa


Neraka! Nama yang gerun didengar oleh setiap Muslim. Tidak ada satu pun yang indah dan menyeronokkan perihal neraka melainkan semuanya adalah azab, kesakitan, keperitan, kesusahan dan kesengsaraan. Kadang-kadang keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung di dunia pun diibaratkan sebagai 'neraka dunia' bagi menggambarkan betapa dahsyat dan berat penderitaan yang ditanggung.

Walaupun istilahnya sama, namun hakikat neraka di akhirat yang ALLAH SWT sediakan sama sekali tidak sama.

Tidak ada siapa pun insan yang waras bercita-cita untuk menjadi penghuni neraka, walau pun sekejap. Hatta mereka yang sering melanggar arahan Tuhan atau cuai dengan perintah agama, apabila ditanya ke mana tempat yang ingin dituju akhirat nanti, pasti dijawab syurga. Tidak ada yang sanggup untuk dicampakkan ke neraka.

Berita-berita yang didengar mengenai neraka semuanya takut dan mengerikan.

Oleh itu, kita disuruh supaya sentiasa meminta perlindungan daripada api neraka kerana azabnya sangat menyakitkan. Orang kafir yang mati dalam kekufuran, nerakalah tempat pengakhiran mereka. Alangkah sengsara nasib mereka di sana sekali pun di dunia mereka adalah manusia yang kaya dan bahagia. Firman-Nya: "Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir." (Surah Ali 'Imran: 131) Dalam ayat lain, ALLAH menegaskan: "(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang." (Surah Al-Insan: 4)
"Dan sesiapa yang menderhaka kepada ALLAH dan ingkarkan bawaan rasul-Nya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka jahanam; kekallah mereka di dalamnya selamalamanya."
Pilihan sendiri

ALLAH ciptakan manusia lalu dikurniakan akal fikiran yang mampu membezakan kebaikan dan keburukan. Akal yang boleh membezakan mana satu jalan membawa ke syurga dan mana jalan yang menjerumus ke api neraka.

Jika seorang insan memilih untuk terus kufur dan mati dalam mensyirikkan ALLAH, neraka sedia menanti untuknya dengan azab seksaan yang amat menyakitkan.

ALLAH berfirman: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya." kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang." (Surah Al-Kahfi: 29) Tujuan manusia diciptakan ialah untuk menjadi hamba kepada ALLAH. Tunduk dan patuh mengabdikan diri hanya kepada-Nya. Mana-mana manusia yang memilih agama dan cara hidup yang bercanggah dengan tujuan asal dia diciptakan, maka dia perlu bersiap sedia untuk menjadi bahan bakaran api neraka.

Rasullullah saw diabaikan

Neraka ialah seburuk-buruk tempat pengakhiran. Segala seksaan yang disediakan di dalamnya adalah layak buat mereka yang kufur di dunia. Sombong dan berpaling daripada menerima kebenaran. Akhirnya nerakalah menjadi tempat 'berehat' buat mereka selamalamanya.

Firman ALLAH: "Dan bagi orangorang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya.

Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (daripada orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?" (Surah Al-Mulk: 6-8)


Rasul diutuskan sebagai utusan ALLAH. Menjadi pembimbing dan contoh buat kehidupan manusia. Apa yang dikehendaki oleh ALLAH agar manusia melakukannya, semuanya telah diwahyukan kepada Rasulullah SAW agar menjadi teladan buat manusia.

Rasul dilantik dalam kalangan manusia juga agar manusia lain dapat mencontohinya.

Jika rasul dilantik dalam kalangan malaikat yang berbeza hakikat penciptaan dan kehidupan, sudah tentu ada manusia yang berdolak-dalik untuk tidak mencontohi rasul dengan alasan tidak mampu. Tetapi, sesudah diutuskan rasul kalangan manusia sendiri yang memberi bimbingan dan peringatan mengenai cara hidup yang diredai, manusia tetap membantah dan mengingkarinya, maka tunggulah neraka sebagai jawapannya.

Rasailah azabnya

Di atas dunia mereka yang cuai dan tidak ambil kisah dengan perintah dan kewajipan ALLAH, mungkin boleh mendabik dada kerana masih boleh hidup bersenang lenang. Nikmat dunia dikecap tanpa rasa bersalah. Bahkan ia semakin bertambah. Tetapi, semakin rancak mereka bersuka ria dengan kehidupan dunia sehingga melanggar batasan syariat, sedarlah api neraka juga sedang marak menyala menanti untuk membakar penghuninya. Lihatlah peringatan ini: "Pada hari azab itu menyelubungi mereka dari sebelah atas mereka dan dari bawah kaki mereka;

dan (malaikat yang melakukannya) akan berkata kepada mereka: "Rasalah kamu (balasan) apa yang kamu telah kerjakan." (Surah Al-Ankabut: 55) Oleh itu, hiduplah sebagai hamba ALLAH yang sedar akan tanggungjawab kepada-Nya. Sehebat mana pun kita yang bermegah dengan kuasa dan harta sehingga lupa kepada Pencipta, ia tetap tidak akan kekal lama. Siapa yang menderhakai ALLAH dan Rasul-Nya, perhatikan janji yang disediakan buat mereka: "Dan sesiapa yang menderhaka kepada ALLAH dan ingkarkan bawaan rasul-Nya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka jahanam; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya."

Tidak ada yang berkuasa menyelamatkan kita dari api neraka melainkan rahmat ALLAH Yang Maha Penyayang. Sentiasalah lisan ini memohon perlindungan dengan-Nya agar dijauhkan daripada azab neraka yang memedihkan. Justeru, antara doa yang sering diamalkan oleh Baginda SAW dan kita juga sepatutnya lebih-lebih lagi mengamalkannya doa memohon perlindungan daripada empat perkara: "Ya ALLAH, daku berlindung dengan-Mu dari azab kubur, daku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahanam, daku berlindung dengan-Mu dari fitnah

(ujian) kehidupan dan kematian, daku berlindung dengan-Mu dari fitnah al-Masih al-Dajjal." (Riwayat Bukhari & Muslim). Doa ini dibaca selepas membaca tahiyat akhir sebelum memberi salam.

Bukan hanya berdoa dan memikirkan diri sendiri agar selamat dari api neraka.

Tetapi perhatikan juga ahli keluarga yang disayangi. Bimbing, nasihat dan ingatkan mereka. Di dunia kita berkasih sayang sekeluarga, hidup saling membahagiakan, peliharalah agar ia kekal hingga ke syurga. ALLAH mengingatkan kita: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada ALLAH dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (Surah Al-Tahrim: 6) Pelihara kualitinya, dan hayati

hikmahnya. Moga-moga kita mendapat apa yang Rasulullah SAW janjikan: Abu Said Al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tidaklah seseorang hamba yang berpuasa satu hari demi mengharapkan keredaan ALLAH, kecuali ALLAH akan menjauhkannya dengan puasa itu daripada api neraka sejarak tujuh puluh tahun perjalanan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

USTAZ ABD RAZAK MUTHALIB, Penulis ialah Jurulatih Kanan & Motivator di Akademi magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM


0 comments:

share2