Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 11, 2017

[BERA] DUA WARGA EMAS MAUT NAHAS


Dua warga emas maut nahas


Dua warga emas maut selepas kereta dinaiki terbabit nahas melibatkan dua kereta dan sebuah treler di Kilometer 18, Jalan Temerloh- Bahau, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pemandu Toyota Vios, Ong Ah Kau, 72, dan penumpangnya, Sam Ah Kau, 78, parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, pemandu terbabit tersepit dalam keretanya yang remuk manakala penumpang tercampak keluar dan terperosok di bawah sebuah lagi kenderaan yang terlibat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, pemandu lori, Mohd Adib Bakar, 34, tidak cedera.

Pemandu kereta jenis Perodua Alza, R Sivaganesan, 29, difahamkan hanya cedera ringan.

Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Bera dari arah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, pemandu (mangsa) dipercayai masuk ke laluan bertentangan ketika cuba memotong Perodua Alza dipandu Sivaganesan yang berada di hadapan.

“Pada masa sama, treler jenis Nissan dipandu Mohd Adib berada di laluan bertentangan dalam jarak yang dekat, menyebabkan mangsa tidak sempat masuk ke laluannya kembali lalu berlaku pertembungan,” katanya.

Mohd Noor berkata, pelanggaran menyebabkan kereta mangsa berpusing dan berlanggar dengan Perodua Alza, sebelum terbabas manakala treler membawa muatan kelapa sawit terbabas ke dalam longkang.

“Penumpang tercampak dan terperosok di bawah Perodua Alza manakala pemandu tersepit di dalam kereta sebelum mayat mereka berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Triang, Muhammad Redzuan Rahimpudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada kira-kira jam 12.49 tengah hari sebelum sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dikerah ke lokasi kejadian.

Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dan seorang lagi terperosok di bawah kenderaan mengambil masa kira-kira 30 minit menggunakan beg udara dan alat pemotong.

“Kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala seorang lagi pemandu dikeluarkan dengan bantuan orang ramai sebelum dihantar ke hospital,” katanya.


0 comments:

share2