Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 9, 2017

[BENTONG] PENTINGKAN KESELESAAN PELANGGAN


Pentingkan keselesaan pelanggan


Bazar Ramadan menjadi tumpuan dan sering dinantikan orang ramai untuk membeli aneka juadah berbuka puasa.

Namun, di sebalik keghairahan umat Islam membeli-belah juadah untuk berbuka, timbul cerita tular di media sosial mengenai makanan basi, tercemar atau berulat dan tahap kebersihan di bazar Ramadan.

Tinjauan Sinar Harian di bazar Ramadan, di sini boleh dikategorikan sebagai bazar Ramadan bersih kerana keadaan sekelilingnya bersih dan tiada sampah kerana peniaga di sini mematuhi peraturan ditetapkan Majlis Perbandaran Bentong (MPB)

Peniaga roti John Bazar Ramadan Padang Tras, Shely Asnila Mohd Zoli, 27 , berkata, peniaga di bazar Ramadan itu mematuhi arahan dan syarat yang ditetapkan serta semua peniaganya bekerjasama mengamalkan konsep kebersihan demi keselesaan pengunjung.

Menurutnya, peniaga di situ akan memastikan kebersihan bukan sahaja di tempat mereka berniaga sahaja malah di kawasan sekitar turut dibersihkan oleh peniaga di sini.

"Kita sentiasa mengutamakan kebersihan supaya pengunjung selesa ketika membeli makanan atau minuman. Pihak PBT telah memudahkan kita dengan memberikan tong sampah kecil dan tidak hanya menggunakan plastik kerana bimbang ia bocor dan boleh mencemarkan kawasan bazar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ditanya mengenai tahap kebersihan di tapak bazarnya, Shely berkata, dirinya sentiasa mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanannya berkualiti bagi memastikan tiada pelanggannya keracunan makanan.

“Macam saya, saya dan pekerja lain akan sentiasa memakai sarung tangan ketika menyediakan makanan. Tempat memasak dan penyediaan akan sentiasa dibersihkan kerana saya pun tak suka tengok benda kotor dan bersepah.

“Dari segi keselamatan makanan, saya menyediakan bahan bahan mentah pada waktu tengahari bagi elak makanan saya basi. Saya sentiasa tutup bahan bahan makanan di bazar bagi mengelakkan dihurung lalat,” katanya.

Seorang peniaga air di Bazar Ramadan Medan Selera Bentong, Hanipa Ibrahim, 44, berkata pendapatan hasil berniaga di bazar amat baik kerana mendapat sambutan menggalakkan disebabkan tahap kebersihan di bazar ini baik.

“Saya mampu dapat keuntungan bersih RM300 sehari dengan jual pelbagai jenis minuman di sini. Alhamdulillah, rezeki berniaga sentiasa ada. Walaupun, setiap perniagaan ada naik dan turunnya, tapi saya yakin.

“Apa yang diharapkan air pelbagai minuman yang saya jual ni terus dapat tempat di hati pelanggan. Saya juga sentiasa memastikan gerai jualan bersih. Kalau sekali mereka suka dengan makanan yang dijual, sudah tentu akan ada kunjungan kedua dan seterusnya,” katanya.

Pengunjung datang sebab bersih dijaga

Sementara itu, seorang pengunjung bazar, Aqil Syakir, 19, berkata, dia datang ke bazar di sini disebabkan tahap kebersihan peniaga dan makanan yang dijamin selamat untuk dimakan.

Menurutnya, selain kebersihan bazar yang memuaskan, peniaga di sini tidak lokek dengan senyuman dan sentiasa memanggil pelanggan sebagai tarikan untuk pengunjung membelinya.

“Kebersihan di sini dan sekitar bazar di Bentong amat memuaskan dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. Makanan kegemaran saya di sini adalah nasi kukus kerana rasanya sedap dan peniaganya tak jemu memanggil dan beramah mesra dengan pelanggan yang datang,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Datuk Mohammad Shahid Ismail memuji kebersihan bazar yang dijaga oleh peniaga di sini dan setakat ini tiada laporan keracunan makanan yang diterima di tiga bazar Ramadan yang terletak di bawah pemantauan pihaknya.

“Sikap peniaga di semua bazar Ramadan di Bentong harus dipuji kerana mereka ambil berat soal kebersihan makanan dan diri masing-masing.

“MPB telah mewajibkan setiap peniaga mempunyai tong sampah di setiap gerai. Setakat ini, tiada peniaga dikenakan tindakan, yang ada hanya teguran kepada peniaga supaya tidak mengulangi kesalahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan peniaga supaya terus mengekalkan tahap kebersihan gerai dan keselamatan makanan bagi mengelakkan sebarang kejadian tak diingini berlaku.

“Penguatkuasa MPB akan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada peniaga langgar peraturan,” katanya.


0 comments:

share2