Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 14, 2017

BAHANA UBAH SUAI MERCUN BOLA


Bahana ubah suai mercun bola


Kota Bharu - Bahana mercun bola, dua lagi mangsa mercun bola ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini menjadikan lima mangsa mercun dicatatkan di Kelantan.

Mangsa terbaru, Muhammad Haikal Adnan Mohd Nor, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang mengalami kecederaan di lutut kiri selepas mercun diubah suai meletup sendiri di tangan.

Menurut Haikal, ketika kejadian kira- kira jam 3 petang Ahad lalu, dia bermain mercun bersama rakannya berhampiran rumahnya di Kampung Badang.

"Mercun itu diubah suai dengan belerangnya dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam bekas plastik bulat dan dimampatkan.

"Belum sempat saya nyalakan, mercun itu meletup serta merta mungkin akibat panas dan menyebabkan serpihannya terkena lutut kiri," katanya.

Sementara itu ibu Haikal, Siti Halimah Mat Isa, 32, berkata ketika kejadian dia sedang menyiapkan juadah untuk berbuka puasa.

"Saya hanya dimaklumkan anak jiran mengenai kejadian itu dan dia dibawa ke klinik Kesihatan Badang sebelum dirujuk ke HRPZ II untuk rawatan susulan.

"Memang terkejut dengan kejadian ini. Lagipun Haikal jarang main mercun, namun saya bersyukur Haikal tak alami kecederaan parah,"katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan di Kampung Kor, Kadok, Mohd Haikal Ierman Sabeki, 15 hancur jari hantu selepas mercun diubah suai meletup di tangan.

Ibu mangsa yang hanya dikenali sebagai Ros, 39,berkata kejadian berlaku malam tadi selepas waktu berbuka puasa.

"Ketika itu dia (Mohd Haikal) bermain mercun bola bersama adiknya. Kali pertama saya dengar letupan bunyi perlahan namun letupan kedua kuat dan selepas itu saya dengar Mohd Haikal seperti menahan kesakitan," katanya.

Ros berkata, anaknya dirujuk ke klinik Perol sebelum dihantar ke HRPZ II untuk rawatan susulan.

Setakat ini Mohd Haikal dalam keadaan stabil dan menjalani rawatan dalam bilik pembedahan dan akan di tempat di Wad Chempaka untuk rawatan lanjut.


0 comments:

share2