Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 2, 2017

AL-QURAN PEMBIMBING UMAT


Al-Quran pembimbing umat


Kota Bharu- “Nabi Muhammad SAW sebelum wafat, Baginda mewasiatkan umat Islam supaya memahami al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup.

"Jadi, kita pada hari ini, di mana-mana pun, kalau kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat," kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh.

Katanya, Jaheaik menyokong usaha murni yang digembleng Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) menerusi kempen Malaysia #QuranHour untuk memperkasakan kesedaran kepada masyarakat kembali kepada ALLAH SWT dan kembali kepada al-Quran.

Che Mohd Rahim


“Kita tidak perlu takut kepada tohmahan orang kalau kita berpegang kepada al-Quran dan hadis kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri dan jati diri inilah yang menghalang kita daripada melakukan perkara tidak baik.

“Al-Quran juga adalah mukjizat dan ia adalah Kalamullah, bukan ciptaan manusia. Kalau kita jadi ahli al-Quran, al-Quran tersebut akan memberi syafaat kepada kita. Tuan al-Quran adalah ALLAH, Yang Maha Mengetahui segala sesuatu termasuk perkara baik atau tidak baik untuk kita,” katanya.

Beliau berkata, biarpun ada yang melihat Malaysia #QuranHour sebagai usaha kecil, tetapi ia adalah usaha amat besar bagi Jaheaik.

“Jaheaik berharap ia mendapat sambutan semua masyarakat, sekarang ini memang payah nak mulakan, tetapi tidak mengapa, WUI dan Sinar Harian dah mulakan perkara yang baik ini dan selepas ini pihak kami berharap akan ada lagi usaha susulan.

“Jangan buat sesuatu secara tidak konsisten, setakat buat pelancaran secara besar-besaran, tetapi selepas itu, program atau usaha itu tidak diteruskan, tiada makna juga.

“Kita mahu #QuranHour ini dijadikan program ke arah ‘Quran Day’, ‘Quran Sebulan’ iaitu sebulan boleh habis sejuzuk dan Dunia Ngaji," katanya.

Di Kelantan, Masjid Muhammadi, Kota Bharu dijadikan sebagai lokasi utama program itu.

Manakala beberapa lokasi ‘hot spot’ lain ialah Rumah Ngaji Sinar Harian, Gedung Cinta Al-Falah, Wisma CT-One Islamic Centre (CIC- Guchil, Kuala Krai), Sekolah Kebangsaan Chabang Empat (Tumpat), Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa dan Masjid Ar-Rahman Sudara Beach Resort (Bachok) yang akan dilaksanakan serentak dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Menerusi sokongan berkenaan, banyak perkara yang dikongsi bersama, antaranya beliau mahu masyarakat di negeri ini berpegang kepada al-Quran dan hadis bukan sahaja supaya tidak sesat, tetapi bersesuaian dengan situasi dunia tanpa sempadan.

Che Mohd Rahim berkata, untuk mengembalikan manusia supaya mempunyai hubungan secara langsung dengan al-Quran adalah menerusi contoh orang zaman dahulu, yang mana mereka hidup susah tetapi tetap dalam suasana harmoni, tenang dan bersatu padu.

“Unik lagi kehidupan mereka apabila masyarakat Cina dan Melayu tak bergaduh, duduk sekampung pakai kain sarung dan saling menghormati, tiada maksiat dan tiada kes masalah sosial.

“Orang dahulu pun balik menoreh, sementara tunggu waktu Zuhur, mereka membaca al-Quran sebagai amalan sehari-hari kerana itulah mereka diberi kekuatan oleh ALLAH biarpun ketika itu tiada surat khabar,” katanya.


0 comments:

share2