Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 2, 2017

TIADA ISTILAH PINGGIR KAUM LAIN


Tiada istilah pinggir kaum lain


Jumlah kaum Bumiputera dan masyarakat Islam di negara ini dijangka meningkat sekitar 80 peratus pada 2050 berbanding statistik terkini menunjukkan jumlah kaum Bumiputera dan Islam berada sekitar 68 peratus.

Bagaimanapun kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai sebuah negara majmuk, agama dan kaum lain tidak akan diketepikan.

"Tiada lagi dakwaan mengatakan orang Melayu hanya di kampung, orang India di ladang dan orang Cina hanya di bandar, tidak ada lagi.

"Sebagai pemerintah yang adil, apa yang dilakukan kerajaan adalah memberi perhatian kepada soal kemisikinan dan sebab itu ia menjadi agenda utama kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan pada program penerapan nilai-nilai murni di bulan Ramadan yang berlangsung di Masjid Rafeah Taman Uda, di sini, semalam.

Menurutnya, keadilan itu menyebabkan Islam sentiasa dipandang indah.

"Kalau ada yang kata Malaysia ini sekular dan nak buat sistem sekular, kita boleh lihat perlembagaan mengatakan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan agama lain boleh diamalkan.

"Kita orang-orang Islam bersifat sederhana dan apa yang disebut oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tentang kesederhanaan itulah kita dihormati," katanya.

Pada perkembangan lain, beliau menyifatkan sesiapa yang hanya berniat untuk menunaikan solat sunat Tarawih pada tahun hadapan dan tidak melaksanakannya pada tahun ini sebagai satu kerugian.

"Gunakanlah peluang yang ada kerana peluang ini hanya datang sekali dan belum tentu kita akan menemuinya lagi," katanya.


0 comments:

share2