Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 10, 2017

[TEMERLOH] TABUNG MASJID SASARAN PENCURI


Tabung masjid sasaran pencuri


Tiga kejadian pecah tabung masjid dan satu tabung surau dilaporkan di daerah Temerloh sepanjang empat bulan pertama, tahun ini.

Bagaimanapun, daripada empat kejadian itu hanya satu dilaporkan kepada polis manakala tiga lagi kejadian termasuk kecurian di surau, tidak dilaporkan.

Sekitar Februari lalu sebuah surau di Seberang Temerloh kerugian apabila kutipan tabung masjid untuk bayaran sagu hati kepada penceramah mingguan dilarikan pencuri.

Tidak lama selepas itu kejadian sama berulang di Masjid Kampung Tebal Seberang Temerloh apabila pencuri melarikan kutipan duit masjid yang disedari jemaah yang ingin menunaikan solat subuh.

Pada Mac lalu, empat tabung beroda milik masjid baharu daerah Temerloh hilang dilarikan pencuri dua hari berturut-turut.

Imam 1 Masjid Baru Daerah Temerloh, Badrulhisham Mohamad Zaki berkata, kesemua empat tabung beroda yang disimpan di dalam ruang pejabat masjid besar itu dilarikan pencuri yang memecah masuk melalui tingkap belakang pejabat.

Menurutnya, pencuri dipercayai melarikan kira-kira RM500 wang tabung masjid itu berdasarkan jumlah kutipan yang biasa dipungut setiap minggu daripada kesemua tabung yang hilang itu.

“Kejadian mula disedari bilal masjid yang sampai ke masjid ini,” katanya.

Badrulhisham berkata, sebelum ini beberapa minggu lalu satu tabung bergerak yang ditempatkan di ruang solat wanita di masjid itu hilang.

Menurutnya, tiga kejadian pecah masuk dan curi tabung masjid itu dibimbangi akan berulang, usaha pihak masjid ialah meminta pengawal keselamatan meningkatkan kawalan.

Katanya, tabung utama masjid yang ditempatkan di ruang solat selamat buat masa ini tetapi bagi memastikan ia tidak menjadi mangsa pihaknya akan memasang CCTV di dalam masjid dalam usaha memastikan kejadian ini tidak berulang.

Kejadian terbaru 17 April lalu, penjenayah bukan sahaja cuba mencuri wang tabung masjid malah bertindak di luar kawalan apabila membakar wang di dalam tabung terbabit selepas gagal melarikannya.

Dalam kejadian di Masjid Batu 4 itu, wang dalam tabung hangus dibakar pencuri selepas gagal memecahkan tabung utama masjid itu.

Bendahari Masjid Batu 4, Abdul Wahab Kassim berkata, pencuri bertindak di luar jangkaan apabila membakar tabung utama masjid itu menyebabkan wang kutipan sekitar RM80 hangus terbakar.

Bagaimanapun katanya, jawatankuasa masjid bernasib baik apabila wang yang terbakar tidak banyak berbanding jumlah wang yang selamat.

Abdul Wahab berkata, pencuri pada mulanya cuba membuka kunci mangga tetapi anak kunci patah menyebabkan dia berang lalu membakar wang yang ada dalam tabung.

Beliau berkata, jawatankuasa masjid sudah berbincang dan bagi mengelakkan kejadian berulang pihaknya memasang CCTV.

Menurutnya, kejadian itu adalah kali pertama membabitkan tabung utama masjid itu yang digunakan ratusan jemaah membabitkan penduduk sekitar Kampung Paya Pulai merangkumi kawasan perumahan dan juga kampung tradisional.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Pulai, Brahim Kilau berkata, pihaknya tidak membuat laporan polis berkenaan kejadian tetapi mempunyai kaedah lain bagi mengelakkan kejadian berulang.

Menurutnya, JKKK beberapa perkampungan di situ yang menggunakan masjid sama akan mengadakan perbincangan bersama jawatankuasa masjid bagi mengatasi masalah itu.

Sementara itu Pengerusi JKKK Bangau Parit Fadhli Dzulkarnain berkata, sejak kejadian curi tabung masjid dan surau yang kerap berlaku di Seberang Temerloh, pihaknya menggunakan kaedah rondaan dengan menubuhkan pasukan rondaan sukarela (SRS)

Menurutnya, rondaan pada sebelah malam dilakukan lebih kerap dan kawasan surau tidak lagi menjadi kawasan sunyi sebaliknya dipenuhkan dengan aktiviti kaum ibu.

Polis giat buru dua lelaki

POLIS memburu dua lelaki yang disyaki mencuri duit tabung masjid di Kampung Sentosa, Maran, 4 Mei lalu.

Deputi Superintendan, Mazlan Hassan berkata, kejadian disedari Setiausaha Masjid, Azmi Abdul Rahman setelah melihat kunci mangga berselerak di dalam masjid tersebut ketika hendak mengerjakan solat Zohor.

“Beliau mendapati tabung Masjid yang diletakkan di tiang dalam masjid tersebut dipecahkan kerana terdapat kunci mangga berselerak, disyaki dipotong,” katanya.

Menurutnya, pengadu membuat semakan rakaman CCTV dan mendapati dua orang lelaki masuk ke masjid tersebut dan memotong mangga tabung masjid.

Katanya, Kedua-dua suspek melarikan satu kotak besi berserta wang di dalam tabung tersebut.

Mazlan berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengumpil tabung yang berada di tiang dalam masjid tersebut menggunakan pemotong besi, seterusnya melarikan satu kotak besi berisi wang.

“Salinan rakaman CCTV dihantar ke Makmal forensik untuk siasatan lanjut bagi mengesan kedua-dua suspek. Maklumat awal mendapati mereka menaiki kenderaan jenis Perodua Viva,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pijak jawatankuasa masjid sentiasa mengambil langkah berwaspada dengan mengosongkan tabung masjid setiap hari.

“Langkah ini dapat mengurangkan risiko kerugian pihak masjid di samping mencegah berlakunya kecurian wang tabung, pada masa akan datang,” katanya.

Cadang tambah CCTV pantau luar, dalam masjid

JEMAAH Masjid Kampung Berchang, Mukim Telang, Kuala Lipis bimbang kegiatan pecah tabung masjid yang semakin berleluasa.

Dalam kejadian terbaru, empat tabung di masjid berkenaan menjadi sasaran pencuri buat kali kedua dalam tempoh tiga minggu.

Pengerusinya, Sa’aid Hassim berkata, kejadian 3 Mei lalu hanya disedari ahli jawatankuasa masjid apabila mendapati kunci mangga pada tabung itu sudah dipecahkan manakala tabung kosong.

Beliau berkata, kejadian sama berulang 16 April lalu dan berjaya dirakam CCTV.

Katanya, dua lelaki dilihat memotong kunci tabung diletakkan di luar masjid.

Sa’aid berkata, laporan polis telah dibuat dan disertakan dengan bukti rakaman CCTV.

Sementara itu, Bendahari Masjid, Mohd Asri Yamin berkata, dua tabung di bahagian ruang solat agak sukar diambil kerana bahagian kunci mangga terletak di tempat agak tersorok.

Bagaimanapun katanya, pencuri berkenaan dapat memotong kunci mangga tersebut dengan cara berbaring dan guna alat pemotong besi untuk ambil wang di dalamnya.

“Masjid ini menjadi antara tumpuan jemaah khususnya pemandu kenderaan yang ingin pulang ke Kelantan atau ingin pergi ke Cameron Highlands,” katanya.

Mohd Asri berkata, jawatankuasa masjid membelanjakan RM2,800 untuk memasang tiga CCTV dan merancang menambahnya.

Dalam pada itu, Imam Masjid Sultan Mahmud Lipis, Azraei Ahmad Saballah berkata, selain tabung besi dan tabung kayu yang pernah menjadi sasaran pencuri, motosikal, kereta milik jemaah, juga kedai koperasi serta bilik imam juga dipecah masuk.

Menurutnya , kegiatan mencuri di masjid itu dilakukan pada waktu malam.

“Pernah juga jemaah jumpa tabung masjid dalam tandas selepas solat Jumaat. Ada juga tabung kayu hilang dicampak dekat taman bersebelahan masjid,” katanya.


0 comments:

share2