Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 10, 2017

[JERANTUT] GAJAH JANTAN SEKALI LAGI CEROBOH KAMPUNG


Gajah jantan sekali lagi ceroboh Kampung Paya Garok


Penduduk Kampung Paya Garok, di sini kembali resah apabila dihantui gangguan gajah sejak lima hari lalu setelah hampir dua bulan tidak didatangi haiwan itu.

Berbeza dengan sebelum ini gajah berkenaan datang secara berkumpulan, namun kali ini hanya seekor ditemui berkeliaran dalam kawasan penempatan penduduk.

Disebabkan hanya seekor, penduduk, Mat Rashid Mat Dahari, 65, dan isterinya, Rohani Daud, 53, tidak menyedari kehadiran haiwan tersebut yang memusnahkan tanaman buluh lemang milik mereka.

Menurutnya, kejadian itu hanya diketahui keesokan hari apabila melihat tanaman di sekitar rumah musnah.

“Saya dan isteri memang tak sedar langsung sebab tak dengar apa-apa bunyi.

“Jika sebelum ni isteri ada dengar bising dalam hutan macam orang tebang kayu atau bunyi gajah tu sendiri. Kali ini langsung tak dengar,” katanya.

Menurutnya, selepas menyedari kehadiran haiwan itu, dia segera menghubungi pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kejadian bermula malam Sabtu lalu. Sejak itu saya dan isteri tak tidur lena. Kami berjaga dan sekejap kami ke depan bahagian rumah dan sekejap kami ke belakang sebab takut,” katanya.

Keesokan harinya, Mat Rashid bersama sekumpulan orang kampung berjaga sehingga jam 3 pagi bagi melihat gajah yang mengganggu kawasan rumahnya itu.

“Sekitar jam 12 tengah malam, kami nampak kelibat seekor gajah liar yang datang tanpa kumpulan.

“Gajah yang menceroboh itu menumbangkan beberapa batang pokok kelapa di kawasan rumah jiran yang kosong,” katanya.

Bukan sahaja bimbang sekiranya gajah itu menghampiri rumahnya, malah Mat Rashid juga khuatir pokok yang ditumbangkan gajah itu menghempap rumahnya.

Sementara itu, Ahli JKKK Kampung Jerantut Feri, Mohd Ramli Jaafar berkata, dia dan sekumpulan penduduk kampung dapat melihat dengan jelas gajah yang dipercayai jantan berdasarkan gading dimilikinya itu.

“Saya anggarkan ketinggian gajah itu sekitar lapan kaki dengan belalainya yang sepanjang sekitar satu kaki.

“Ia seekor gajah dewasa. Tapi kami tidak berani untuk datang dengan lebih dekat,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dihubungi bagi memaklumkan kejadian itu dan pegawainya datang memantau situasi berkenaan.


0 comments:

share2