Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 21, 2017

TAUKE JUDI TAK MAKAN SAMAN


Tauke judi tak makan saman


Bahau – Pemilik premis mesin judi di daerah Jempol bertindak berani dengan membeli dan memasang sendiri meter elektrik secara haram bagi memastikan kegiatan mereka dapat diteruskan seperti biasa selepas bekalan elektrik dipotong.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, meter elektrik berkenaan dipercayai dibeli dari luar daerah ini, dan melakukan penyambungan secara haram oleh mereka yang mahir dalam pendawaian dan elektrik.

Menurutnya, hasil intipan yang dilakukan oleh pasukannya mendapati ada premis yang cuba beroperasi semula setelah serbuan dilakukan, namun disebabkan itu pihaknya bertindak menyerbu kembali premis tersebut untuk tindakan lebih keras.

“Kita bersama Majlis Daerah Jempol (MDJL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengadakan operasi memotong bekalan elektrik ke premis berkenaan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

“Sebanyak empat premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian (online) di sekitar Bahau, dipotong bekalan elektriknya kerana menjalankan operasi yang menyalahi undang-undang.

“Sehingga hari ini sudah lapan premis dikenakan tindakan yang sama, sekali gus menghentikan kegiatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi yang dijalankan di Pusat Perniagaan Kempas, kelmarin.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol, Zazali Salehuddin.

Noorzainy berkata, sebanyak 12 serbuan, rampasan dan tangkapan berkaitan perjudian dibuat sepanjang tahun ini.

Katanya, bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibanteras sepenuhnya, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol membuka talian hotline 064583449 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan terus maklumat kegiatan perjudian.

“Talian berkenaan akan memudahkan orang ramai membuat aduan terus kepada polis dengan menyalurkan maklumat lengkap seperti lokasi perjudian bagi membolehkan pihaknya membuat siasatan segera,” katanya.

Sementara itu, Zazali berkata pihaknya akan terus melaksanakan operasi seperti ini dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti tersebut tidak berlanjutan.

“Kita memandang serius dan sangat komited dalam membanteras aktiviti tidak sihat ini, diharap mereka yang akan maklumat boleh salurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


0 comments:

share2