Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 12, 2017

STATUS WARGA AUSTRALIA: ADUN DILUCUT, PRK BAKAL BERLAKU




Kuching – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini melucutkan kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr. Ting Tiong Choon sebagai wakil rakyat DAP yang dipilih.

Menurut portal tempatan, ketika mengumumkan pelucutan berkenaan, Yang Dipertua DUN, Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar berkata, 70 ADUN mengundi menyokong manakala 10 lagi ADUN mengundi menentang.

Usul pelucutan ADUN Pujut tersebut dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan. Keputusan itu berkuat kuasa serta merta .

Berdasarkan perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak menyatakan bahawa mana-mana orang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai ADUN.

Dengan pengumuman itu, Speaker DUN bakal membawa notis kekosongan kerusi N.74 tersebut kepada pihak ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya untuk pewartaan dan proses pilihan raya kecil (PRK) di situ.

Kes Tiong Choon, 51, menarik perhatian ramai ekoran calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hii King Chiong memfailkan petisyen pilihan raya memohon mahkamah mengumumkan kemenangan sebagai batal dan tidak sah.

Dalam pertandingan empat penjuru pada 7 Mei tahun lalu, wakil DAP itu menang dengan 8,899 undi menewaskan BN yang meraih 7,140 undi, manakala Jofri Jaraiee (PAS) 413 undi diikuti Fong Pau Teck (Bebas) hanya 375 undi.

Media melaporkan kes tersebut disiasatkan di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan susulan keraguan pelbagai pihak yang mendakwa Tiong Choon masih lagi sebagai warga Australia dan hilang kelayakan sebagai calon.

Pujut dalam Parlimen Miri ada 26,202 pengundi terdiri daripada 70.4 peratus kaum Cina, Melayu dan Melanau (17.9 peratus), Iban (7.5 peratus), Orang Ulu (1.8 peratus), Bidayuh (0.6 peratus) serta lain-lain (1.6 peratus).

Ini merupakan PRK kedua selepas Pilihan Raya Sarawak tahun lalu apabila sebelum ini kerusi N.01 Tanjong Datu pada 18 Februari ekoran penyandangnya yang juga bekas ketua menteri, Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia.

Pada PRK itu, balu allahyarham, Puan Sri Jamilah Anu (BN) menewaskan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak, Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru, Rapelson Richard Hamit.


0 comments:

share2