Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 12, 2017

[JERNTUT] SATU DAERAH TANAM MUSANG KING


Satu daerah tanam Musang King


Ibarat menanam emas. Begitulah digambarkan hasil dikecapi penanam pokok Musang King kini.

Masakan tidak, harga bagi sekilo durian itu kini hampir mencecah RM100 menjadikan ia suatu hidangan pencuci mulut antara yang paling mahal sehinggakan seulas durian harganya RM7 hingga RM12.

Penduduk Kampung Simpang Tebing Tinggi, Daud Nawang, 56, berkata, harga Musang King yang semakin tinggi membuatkan dia tidak sabar untuk melihat pokok Musang King yang ditanamnya membesar dan berbuah.

Tambahan pula pada 26 Mac lalu, dia menerima dua anak pokok Musang King secara percuma sumbangan Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Menurutnya, sumbangan itu amat berharga buatnya memandangkan sebatang anak pokok berharga RM30.

“Kalau beli sebatang sudah berharga RM30. Itu pun kalau hidup. Ini saya dapat secara percuma pula, Alhamdulillah...,” katanya.

Daud antara 250 penerima di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Tebing Tinggi yang mendapat anak pokok durian itu. 

Mahu jual dengan harga murah

Seorang lagi penerima, Mohd Zamazri Ibrahim, 39, berkata, pokok Musang King yang ditanamnya dijangka berbuah dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Dalam tempoh itu, tidak mustahil harga buah ini akan jadi tambah mahal. Sekarang pun harganya nak cecah RM100.

“Kalau tak ditanam sendiri sekarang, mungkin generasi saya akan datang tak dapat nak rasa durian ini sebab harganya yang terlampau mahal,” katanya.

Bagi Fauzi Mohd Nor, 41, pula, durian Musang King boleh dianggap sebagai khazanah berharga untuk diperturunkan kepada generasi seterusnya.

“Dapat dua batang pokok pun dah cukup untuk anak cucu saya rasa Musang King...tak payah dah nak beli kat luar, kan mahal,” katanya.

Johari Mohamad, 54, pula berkata, dua anak pokok sumbangan Parlimen Jerantut menjadi pendorong buatnya untuk menambah lagi jumlah pokok Musang King di kebun miliknya.

“Harga Musang King ni kan memang cekik darah. Nanti bila pokok dah berbuah, saya harap dapat jual dengan harga lebih murah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Simpang Tebing Tinggi, Mohd Arif Yusof berkata, sebahagian penerima menanam anak pokok di kebun masing-masing manakala sebahagiannya ditanam di sekitar halaman rumah.

“Mereka yang terpilih ini merupakan mereka yang memiliki tanah sendiri dan bekerja di kampung supaya pokok yang diterima tidak dibiarkan begitu saja tanpa penjagaan rapi,” katanya.

Mohd Arif juga berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan anak pokok Musang King itu agar usaha pihak Parlimen Jerantut tidak dipersiakan sekali gus menyahut seruan Ahmad Nazlan dalam merealisasikan usaha menjadikan daerah ini antara pengeluar Musang King setanding Raub dan Bentong.

“Saya dapat bayangkan sekiranya usaha ini menjadi, Kampung Simpang Tebing Tinggi yang terletak di jalan utama Jerantut-Temerloh akan dipenuhi dengan gerai jualan Musang King.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan buat Pejabat Parlimen Jerantut dan Ahmad Nazlan kerana memilih Kampung Simpang Tebing Tinggi sebagai lokasi pertama penyerahan sebanyak 500 anak pokok Musang King bagi daerah ini.

Naik taraf ekonomi penduduk

Dalam pada itu, Ahmad Nazlan berkata, pihaknya memilih untuk mengagihkan anak pokok berkenaan kerana sambutan yang menggalakkan diterima peminat tegar durian itu dalam dan luar negara.

Katanya, daerah ini terkenal sebagai lokasi pelancongan, namun setakat ini masih belum memiliki sebarang produk khusus untuk diperkenalkan.

“Saya terfikir kenapa tidak kita jadikan Musang King ini sebagai produk utama daerah ini. Namun disebabkan kita tidak mempunyai lokasi untuk dijadikan ladang, saya fikir lebih elok sekiranya diagihkan kepada penduduk untuk ditanam di atas tanah masing-masing.

“Dengan cara ini, bukan saja dapat galakkan lagi pengeluaran Musang King bagi negeri ini, malah juga dapat jana pendapatan penduduk setempat,” katanya.

Sebagai permulaan, pihaknya mengagihkan sebanyak 500 anak pokok kepada penduduk Kampung Simpang Tebing Tinggi di mana beliau merangka untuk mengagihkan sebanyak 10,000 anak pokok kepada penduduk kampung daerah ini secara berperingkat.

“Kita kini sedang kumpul anak pokok dan ia akan diberikan secara berperingkat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya lagi, pemberian pokok Musang King itu adalah susulan dari usaha Parlimen Jerantut untuk naik taraf hidup penduduk kampung di daerah ini menerusi pertanian.

“Sejak 2013 lagi saya sudah agihkan pelbagai jenis tanaman seperti kelapa, bunga kantan, belimbing buluh, limau nipis, cempedak dan lain-lain lagi yang saya lihat berpotensi membantu menjana pendapatan penduduk.

“Saya lihat dengan memberikan anak pokok sedikit seorang adalah lebih efisien berbanding memberinya secara banyak sekali gus bagi memastikan kualiti penjagaannya lebih terjamin,” katanya.

Beliau dalam masa sama telah menganjurkan Seminar Durian Berkualiti Tinggi dan Pengkomersialan Untuk Pasaran bertempat di Dewan Bangunan Umno Bahagian Jerantut, Selasa lalu dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Pejabat Pertanian Jerantut.

Program itu turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Pasaran Antarabangsa Fama Malaysia, Datuk Nazipah Jamaluddin.

Seramai 62 peserta terdiri dari pekebun dan pengusaha durian daerah ini menyertai seminar berkenaan yang memberikan penjelasan tentang pasaran durian dan penanamannya.


0 comments:

share2