KOTA BHARU - Tidak sempurna kunjungan anda ke Kelantan jika tidak singgah di Kopitiam Kita di Kota Bharu untuk menikmati singnature dish iaitu roti titab.
Roti yang disediakan dengan penuh kasih sayang dan dilhamkan oleh pemiliknya sejak 2010 itu sememangnya menjadi bualan ramai sehingga ke luar negara.
Disebabkan keenakan dan keistimewaan hidangan itu banyak pihak menirunya sehingga sanggup mengaku menjadi francaisnya di merata tempat sehingga ke Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, pemilik idea asal yang juga Pengurus Besar Koptiam Kita, NH Wong berkata, pihaknya mengambil keputusan mempatenkan jenama Roti Titab sejak setahun lalu.
“Dalam minggu ini kami dijangka terima sijilnya. Jadi kita tak mahu lagi ada pihak yang sewenang-wenangnya guna nama Kopitiam Kita dan juga Roti Titab,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui sempena majlis sambutan hari lahir ke-61 tahun bersama keluarga, pekerja dan pelanggan Kopitiam Kita di Jalan Padang Bongor semalam.
Wong berkata, jika perkara sebegitu dibiarkan berlaku tanpa sebarang tindakan ia akan terus mencemarkan imej Kopitiam Kita dan Roti Titab itu sendiri yang mana keaslian resepsinya semakin hilang.
Beliau berkata, jika masih ada yang berdegil mempergunakan nama Roti Titab pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut sebagai pengajaran.
0 comments:
Post a Comment