Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 27, 2017

[BENTONG] ALAM RAI BANTU SAUDARA BAHARU

Alam rai, bantu saudara baharu



Bersempena Ramadan ini, Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) mengadakan Kembara Amal Ziarah Saudara Baharu untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam di Pos Senderut, Raub di sini semalam.

Timbalan Presiden Alam, Ahmad Pozi Yahaya berkata, seramai 68 peserta terdiri daripada ahli Alam, Perkim dan juga Kelab Ford Ranger 4x4 Kuantan menyertai program berkenaan. 

Menurutnya, program yang kali kedua dianjurkan itu bertujuan meraikan masyarakat Orang Asli terutamanya saudara baharu sempena menyambut bulan Ramadan.

“Untuk ceriakan suasana, kami hulur sumbangan makanan dan keperluan harian selain melakukan gotong-royong, sukaneka serta menanam pokok bagi mencantikkan kawasan persekitaran sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Ahmad Pozi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang tidak mahu nama mereka disebutkan kerana banyak membantu pihaknya dalam melancarkan program tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kembara itu dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada peserta dan masyarakat umum agar kawasan seperti di Pos Senderut perlu dipelihara keasliannya untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Katanya, pihaknya memohon kerjasama mana-mana pihak yang berkepentingan untuk menghormati kawasan-kawasan perlindungan seperti tanah adat, taman negara daripada dicerobohi.

“Saya berharap sama ada ahli dan sesiapa saja supaya jaga dan hargai keindahan alam sekitar yang sedia ada.

“Ini adalah amanah ALLAH kepada kita...jagalah sebaik mungkin supaya ia dapat dinikmati generasi akan datang,” katanya.




0 comments:

share2