Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 23, 2017

RM374,000 SARA HIDUP UNTUK NELAYAN MARAN


RM374, 000 sara hidup untuk nelayan Maran


Sebanyak 1,308 nelayan darat telah didaftarkan di Jabatan Perikanan Pahang, setakat ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Sri Ismail Abd Muttalib berkata, mereka merupakan sebahagian besar nelayan yang mata pencariannya melalui penangkapan ikan di sungai-sungai di negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 787 daripada mereka nelayan sepenuh masa yang turut layak menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan.

"Pada tahun ini kerajaan memperuntukkan RM1.89 juta bagi bantuan sara hidup kepada nelayan di negeri ini. Daripada jumlah itu, sebanyak RM374,400 diberikan kepada 156 orang nelayan darat dari Dun Chenor dan Dun Luit.

"Selain elaun sara hidup, bantuan peralatan kelengkapan nelayan laut darat berupa jaket keselamatan, jaring tahan dan jala dengan nilai keseluruhan RM20,000 turut diserahkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Penyerahan Bantuan Kelengkapan kepada seramai 156 Nelayan Darat Daerah Maran, Pahang 2017, di Dewan Arena Chenor di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Chenor, Dato' Mohamed Arifin Awang Ismail; Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato' Adnan Husain dan Ketua Bahagian Pentadbiran Agro Bank Negeri Pahang, Sameon Awang.

Dalam pada itu Ismail berkata, segala bantuan termasuk jaring, jaket keselamatan dan lain-lain yang kesemuanya bernilai hampir RM300 yang diberikan kepada nelayan tersebut, hari ini adalah sebagai pemberian touch point bagi membantu para nelayan itu menjalankan tangkapan ikan secara selamat.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Maran itu turut berkata, kerajaan telah melancarkan Skim Perlindungan Insurans kepada nelayan darat di Pahang.

"Sebagai perintis, seramai 156 nelayan darat di Daerah Maran telah didaftarkan untuk memiliki Skim Perlindungan Insurans Berkelompok dengan bayaran RM20 sebagai permulaan dan manfaatnya akan diperolehi sekiranya terlibat kemalangan semasa menangkap ikan.

"Insurans tersebut akan diperluaskan kepada nelayan darat di lain-lain daerah di negeri ini dengan sasaran semua nelayan darat berdaftar akan mempunyai skim insurans tersebut," katanya.

Kepada mereka yang menerima bantuan peralatan menangkap ikan itu, Ismail mengingatkan supaya memanfaatkan bantuan tersebut dan tidak menjualnya bagi mendapat keuntungan.

Beliau memberitahu Jabatan Perikanan Pahang telah melepaskan kira-kira 1.3 juta pelbagai jenis anak ikan termasuk udang di Sungai Pahang, Sungai Rompin, Sungai Tembeling, Sungai Semantan, Sungai Jelai, Sungai Lipis dan beberapa sungai lagi di negeri ini bagi tujuan pembiakan untuk membolehkan para nelayan membuat tangkapan ikan yang lebih berhasil.

Sementara itu, Mohamed Arifin berkata, kerajaan sentiasa memikirkan langkah bagaimana mahu memastikan survival warga miskin agar tidak putus.

"Usaha kerajaan dalam memenuhi keperluan nelayan sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap mereka bagi melihat supaya Nelayan di Chenor berdaya saing dan memperoleh pendapatan lebih," katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan terhadap Jabatan Perikanan Negeri Pahang yang merupakan jabatan pertama memilih dewan Arena Chenor untuk mengendalikan acara rasmi sejak ia dibuka bulan lalu.

"Tidak lupa juga, marilah kita mendoakan karier Dato' Sri Ismail akan terus meningkatkan dengan cemerlang di dalam politik dan jemaah menteri kerana secara tidak langsung akan memberi peluang dan ruang kebajikan kepada penduduk Maran, khasnya Chenor," katanya.


0 comments:

share2